16 kanak-kanak berjaya lunas cabaran 44 hari solat subuh berjemaah

Iklan
Nor Ammar Rafie (tiga dari kanan) ketika menerima hadiah basikal yang disampaikan oleh Mustapha (dua dari kanan) pada Sabtu.

JEMPOL - Seramai 16 kanak-kanak dari Felda Palong 12 dan 13 dekat sini berjaya menyahut cabaran 44 hari solat subuh berjemaah yang bermula sejak 1 Oktober lalu dan berakhir pada 10 November lalu.

Program anjuran Masjid Felda Palong 12 dan 13 ini pada awalnya disertai oleh 55 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, namun hanya 16 peserta yang bertahan sehingga 44 hari sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah berupa basikal.

Iklan
Iklan

Ibu kepada salah seorang kanak-kanak itu, Roshidah Hassan, 34, berkata, sudah menjadi kebiasaannya anak sulungnya, Nor Ammar Rafie Norafendi,11, solat subuh berjemaah di masjid bersama datuknya setiap hari.

Cabaran 44 hari solat subuh berjemaah berjaya dilunaskan 16 kanak-kanak Felda Palong 12 dan 13 yang bermula sejak 1 Oktober lalu dan berakhir 10 November lepas.


"Dia memang teruja apabila pihak masjid anjurkan program ini, lebih menggembirakan apabila mendapat hadiah sebuah basikal," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai majlis penyampaian hadiah berkenaan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor pada Sabtu.

Iklan

Seorang lagi peserta, Muhammad Adam Rizqi Azmin, 9, mengakui bukan sahaja berpuas hati malah gembira apabila berjaya menamatkan cabaran solat subuh berjemaah selama 44 hari itu.

"Selepas ini saya akan tetap ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah bersama ayah biarpun tanpa sebarang hadiah atau ganjaran," ujarnya.

Pada majlis sama turut diadakan program khatan beramai-ramai membabitkan 35 kanak-kanak dari tanah rancangan Felda di situ.

Iklan

Sementara itu, setiausaha masjid berkenaan, Azmin Mohd Baderi berkata, hadiah basikal ini sebagai galakkan kepada kanak-kanak dalam usaha untuk membentuk diri mereka supaya lebih dekat kepada institusi masjid dan tidak perlu disalah tafsir dengan pemberian hadiah tersebut.

"Kita juga banyak mendapat sokongan daripada penduduk malah orang ramai dan pihak Baitulmal turut membantu menyediakan hadiah berkenaan.

"Selain daripada mendidik anak-anak untuk hadir solat subuh berjemaah program ini juga menjadi satu permulaan bertambahnya kehadiran dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Pada majlis sama turut diadakan program khatan beramai-ramai membabitkan 35 kanak-kanak dari tanah rancangan Felda di kawasan terbabit.