Bakal pengantin maut motosikal rempuh belakang lori rosak

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Gambar kecil: Munirah

KEPALA BATAS - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori rosak di Kilometer 118.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa, Munirah Mohamad, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lori terbabit datang dari arah Juru ke Sungai Petani yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan.

Menurutnya, selepas 15 minit kemudian mangsa yang menunggang dari arah sama merempuh sebelah kanan lori berkenaan.

Iklan

"Akibat rempuhan itu mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas sebelum mayat dituntut ahli keluarganya," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu tular di laman sosial gambar kejadian kemalangan berkenaan dengan keadaan motosikal mangsa terperosok di bahagian bawah lori.

Difahamkan, mangsa berasal dari Mukim Jeneri, Sik dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Selain itu, rata-rata warganet turut menzahirkan rasa dukacita apabila mengetahui mangsa baharu sahaja melangsungkan pertunangan dan bakal berkahwin selepas Aidilfitri depan.