Wanita abai tiga anak, diperintah berkelakuan baik

Iklan
Masanizah (dua dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka pada Isnin kerana pengabaian anak.

MELAKA - Seorang wanita empat anak diperintah bon berkelakuan baik dengan melaksanakan khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas dua tuduhan pindaan mengabaikan tiga anaknya.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Masanizah Roslan, 41, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Masanizah (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di Melaka.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan pindaan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, tertuduh diwakili Peguam Omar Zulkarnain merayu dia kenakan hukuman ringan dan telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom bagaimanapun membantah perintah bon tersebut dengan hujah ia dibimbangi tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.

Iklan

Mahkamah kemudian melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah turut memerintah tertuduh melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan di bawah Seksyen 31(3A) Akta Kanak-kanak 2001.