Pihak berkuasa buru pelaku pencemaran Sungai Linggi - Aminuddin

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab melakukan pencemaran di Sungai Linggi, dekat sini sehingga menjejaskan urusan harian ribuan penduduk terutamanya di Port Dickson.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius aktiviti yang membabitkan kesan negatif kepada penduduk setempat yang berlaku pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

"Pihak berkuasa sedang memburu pelaku pencemaran sungai ini. Tindakan tegas akan diambil kerana menyusahkan ribuan pengguna air di daerah Port Dickson.

"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam menangani isu ini," katanya pada hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut kejadian berkenaan, beliau berkata, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) menerima aduan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi daripada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) pada jam 8.40 malam Sabtu lalu, selepas pihak berkenaan memaklumkan terdapat bau minyak dikesan di sungai berkenaan menyebabkan operasi LRA terbabit ditutup.

"Operasi LRA Linggi masih tidak dapat diteruskan semula pada jam 10 pagi keesokannya (Ahad) kerana masih berbau minyak dan SAINS menggerakkan bantuan air melalui lori tangki serta meletakkan tangki statik di kawasan terjejas," katanya.

Iklan

Menurutnya, LRA Linggi dapat kembali beroperasi pada jam 2 petang Ahad lalu dan bekalan air secara berperingkat pulih sebelum air dapat disalurkan semula sepenuhnya beberapa jam kemudiannya.

Ujarnya, pada jam 2.40 petang hari yang sama, BKSA menemui lokasi kejadian dan siasatan diteruskan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan SAINS.

"Ia kejadian kedua dalam tempoh sebulan membabitkan pencemaran air di LRA Sungai Linggi selepas 7 November lalu, selepas terdapat aduan berkaitan di muka sauk berbau diesel," katanya.