Takut kena saman, polis parah dirempuh penghantar barang

Iklan
Mangsa yang mengalami kecederaan parah masih mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

SHAH ALAM - Penghantar barangan yang melanggar anggota polis ketika cuba meloloskan diri dalam Operasi Samseng Jalanan Ahad lalu dipercayai bertindak demikian kerana motosikal yang ditunggang tidak mempunyai cermin sisi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek mendakwa takut dikenakan saman atas kesalahan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki lesen memandu yang sah selain cukai jalan motosikal yang ditunggang suspek masih ada," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian ini masih dijalankan.

Iklan

"Semakan dijalankan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau atau dadah," katanya.

Menurutnya, anggota polis yang parah serta suspek masih dirawat di Hospital Shah Alam.

Iklan

"Suspek yang turut mengalami kecederaan akibat kejadian terbabit difahamkan akan menjalani pembedahan mata akibat terdapat kesan pendarahan pada belakang mata," katanya.

Pada Ahad, seorang anggota polis parah dilanggar penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dalam Operasi Samseng Jalanan di Persiaran Perbandaran Seksyen 14 dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika suspek bertindak melawan arus untuk melarikan diri sebelum melanggar mangsa.