Perak FC mahu tampil kejutan musim depan

Iklan
Yusri

PERAK FC sedang mengintai beberapa pemain yang akan mengejutkan peminat dalam usaha memperkuatkan pasukan musim hadapan.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Jurulatihnya, Yusri Che Lah bahawa beberapa pemain baharu akan dibawa masuk jika keadaan mengizinkan.

Iklan
Iklan

"Saya dan pihak pengurusan telah bekerja keras dalam masa terdekat ini dan kita telah mengenal pasti pemain-pemain yang akan dibawa masuk terutama untuk memperkuatkan barisan pemain sedia ada.

"Kita akan membawa masuk pemain-pemain yang boleh saya katakan seandainya berlaku, sesuatu yang mengejutkan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang Sabah FC di Stadium Perak di sini pada malam Ahad.

Iklan

Yusri berkata, bagaimana pun perkara itu masih perlu bergantung kepada bajet pasukan sama ada bersesuaian atau sebaliknya.

Katanya, tumpuan lebih terarah kepada bahagian serangan kerana pasukan Perak tidak memiliki penyerang tulen selain memantapkan lagi bahagian tengah dan pertahanan.

Iklan

"Apa yang boleh dikatakan ketika ini tak banyak perubahan akan berlaku tetapi kita akan memasukkan pemain baharu untuk memberikan lebih saingan," katanya.

Dalam pada itu, Yusri turut mengesahkan bahawa pemain tengah, Azalinullah Alias akan terus bersama pasukan musim hadapan.