Teknologi AI bantu atasi kekurangan pakar keselamatan siber - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil (tengah) pada gimik Perasmian PNB Planet Cyber 2023 yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Selasa. Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (kiri). --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR - Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh diguna pakai untuk membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar dalam bidang keselamatan siber buat masa ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

"Namun, secara asasnya kita masih memerlukan tenaga pakar, contohnya organisasi perlu mewujudkan jawatan yang dikenali sebagai CISO (Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat) dan ini penting untuk mengendali dan menyelaras aspek keselamatan siber dalam organisasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan PNB Planet Cyber 2023, anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Selasa.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas berkata, Malaysia kekurangan pakar keselamatan siber memandangkan negara hanya memiliki 13,000 daripada 25,000 pekerja yang diperlukan dalam bidang itu menjelang 2025.

Menyentuh mengenai kemajuan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia, Fahmi berkata, kesemua penyedia perkhidmatan komunikasi (MNO) telah diberikan deraf Perjanjian Langganan Saham semalam dan kini dalam proses memperincikan beberapa perkara berbangkit.

Iklan

"Sejurus kita mencapai 80 peratus (liputan kawasan berpenduduk) barulah kerajaan akan mengumumkan pembentukan entiti kedua.

"Sama ada MNO mencapai persetujuan bersama, MNO mana yang akan membentuk entiti A dan B, atau MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan putuskan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, semua pihak perlu memastikan aspek perlindungan data termasuk data peribadi pengguna dijamin susulan banyak berlaku serangan siber.

"Apa sahaja yang disambungkan ke internet akan terdedah kepada pelbagai risiko dan ancaman siber.

"Oleh itu, Malaysia sentiasa memberikan keutamaan kepada strategi keselamatan siber yang pragmatik bagi memastikan kita mempunyai ruang siber yang terjamin, dipercayai dan berdaya tahan,” katanya. - Bernama

Iklan
Iklan