Polis nafi berlaku tanah runtuh di Terowong Genting Sempah

Iklan
Video yang tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai kejadian tanah runtuh tersebut berlaku di luar negara.

KUALA LUMPUR - Polis menafikan berlaku tanah runtuh di pintu masuk ke Terowong Genting Sempah sepertimana dipaparkan dalam sebuah video yang tular.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, video itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai kejadian tanah runtuh tersebut berlaku di luar negara.

Iklan
Iklan

"Rakaman dalam video itu tidak berlaku di kawasan Genting dan saya pernah melihat video tersebut sebelum ini.

"Kalau dilihat Terowong Genting Sempah memang jelas di pintu masuk dan keluar laluan kenderaan terpampang gambar Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya ketika dihubungi malam ini.

Iklan

Zaiham berkata, sekiranya ia berlaku di Genting Sempah, sudah pasti ada kenyataan rasmi segera yang dikeluarkan oleh polis atau pihak konsesi lebuh raya.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang berdurasi 50 saat memaparkan berlaku tanah runtuh di hadapan pintu masuk sebuah terowong laluan kenderaan. - Bernama

Iklan