Suri rumah mengaku tak salah menyamar pegawai LHDN, palsukan dokumen

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memalsukan dokumen bagi tujuan pinjaman wang berjumlah RM150,000.

Nurul Shahira Roslan, 39, didakwa menyamar sebagai pekerja LHDN dengan menggunakan dokumen palsu kepada pihak Bank Islam, bagi tujuan membuat permohonan pinjaman khas yang ditawarkan kepada kakitangan agensi itu, di mana RM150,000 dimasukkan ke akaun Bank Islam atas nama Nurul Shahira yang mana pihak bank tidak akan meluluskan permohonan itu sekiranya tidak diperdayakan.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ibu pejabat Bank Islam, Cawangan Sri Petaling di sini antara 1 Mac 2019, 8 pagi sehingga 14 Mac 2019, 5 petang, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu salinan pas keselamatan LHDN, penyata gaji LHDN, penyata bank, penyata EC dan surat pengesahan majikan LHDN dalam permohonan pinjaman khas yang ditawarkan kepada pekerja LHDN, sehingga ia diluluskan dan wang itu dimasukkan ke akaun Bank Islam tertuduh.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan tempat sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman mencadangkan jaminan RM50,000, berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Iklan

Peguam Syamil Haidhar Abdul Jalil Alwi mewakili tertuduh memohon jaminan RM8,000 dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang memerlukan rawatan di hospital.

"Anak guam juga mengalami gangguan emosi kerana keguguran anak kali ketujuh, selain tiada risiko melarikan diri,” katanya.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes. - Bernama