Kanak-kanak melecur di bilik jana kuasa elektrik kini kritikal, ditidurkan

Iklan
Mohd Dawisy (kiri) kini kritikal dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang selepas melecur 50 peratus akibat insiden renjatan di bilik jana kuasa elektrik.

GEORGE TOWN - Kanak-kanak lelaki yang melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini kini kritikal dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Bapanya, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38 berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu mengalami melecur badan 50 peratus akibat insiden yang berlaku pada petang Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau yang sedang bertugas di Lumut, Perak bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa Mohd Dawisy Zarif yang mesra dipanggil adik di kalangan ahli keluarganya.

"Adik memang seorang anak yang aktif dalam sukan bola sepak dan memang kebiasaan dia bersama kawan-kawan bermain bola di gelanggang futsal terbabit namun kali pertama kejadian sebegini berlaku,” katanya ketika ditemui media di HPP, di sini pada Jumaat.

Iklan

Meskipun masih terkejut dan sedih dengan nasib menimpa anaknya Mohd Khairi berkata, anaknya yang juga murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Lepas 2 memang seorang yang ceria dan lasak.

"Dia anak yang kuat, saya harap dia dapat bertahan dan kembali pulih," katanya.

Ibu bapa Mohd Dawisy Zarif berharap anak bongsu mereka itu kembali pulih sedia kala.

Iklan

Sementara itu ibu mangsa, Suhana Samsudin, 37, berkata, dia masih terngiang-ngiang dengan rintihan anaknya yang menahan sakit akibat kecederaan yang dialami.

Jelasnya, khabar malang yang menimpa anak bongsunya itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp.

"Ketika kejadian saya sedang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan terkejut mendapati rakaman video dikongsi di dalam kumpulan itu adalah mengenai anak saya sebelum bergegas pulang sekitar 5 petang," katanya.

Dia turut dihubungi rakan anaknya tidak lama selepas itu yang memberitahu Mohd Dawisy terbakar.

"Ketika saya sampai anak saya masih berada di situ (kawasan kejadian) dan dibawa ke surau sebelum dihantar ke ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu masuk ke kawasan bilik jana kuasa tersebut untuk mengambil bola dan dikatakan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik dan dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.