Ahli Parlimen Labuan nafi wujud paksaan, sogokan sokong PM

Iklan
Suhaili Abdul Rahman
LABUAN - Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada Rabu menafikan sekeras-kerasnya wujud paksaan, ugutan dan sogokan keatas empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kononnya terdapat seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah menyokong pimpinan Perdana Menteri adalah tidak benar.

Suhaili berkata, sokongannya kepada Perdana Menteri demi memastikan kelangsungan rakyat di kawasan Parlimen Labuan.

"Saya ingin mengulangi bahawa sokongan saya kepada Perdana Menteri adalah sukarela dan tanpa sebarang desakan atau tekanan.

Baru-baru ini Wan Ahmad Fayhsal menerusi satu sidang akhbar mengatakan bahawa ada seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah, menyokong pimpinan Perdana Menteri.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar menyokong Anwar iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). - Bernama.