'Katak-katak politik tetap melompat, guna istilah lain' - Akmal

Iklan
Akmal

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menilai semula tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengalih sokongan disifatkan sebagai lompat parti namun sekadar menggunakan istilah berbeza.

Iklan
Iklan

Sedangkan menurutnya, Akta Anti Lompat Parti bertujuan menghalang katak-katak politik untuk melompat sesuka hati sekali gus mengelakkan drama politik yang berpanjangan.

"Saya mohon agar PMX untuk menilai semula mereka-mereka yang melompat ini agar agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar reformasi tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, dengan Akta Anti Lompat Parti, sepatutnya wakil rakyat yang dipilih boleh terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang mereka wakili.

"Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat," katanya.

Iklan

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketiga yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.