Tidak sampai 3 jam larikan barang kemas, tiga suspek ditahan

Iklan
Polis berjaya menahan tiga lelaki berhubung kes rompakan membabitkan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai emas di Kuala Kangsar pada Isnin. - Gambar hiasan

KUALA KANGSAR - Polis berjaya menahan tiga lelaki berhubung kes rompakan membabitkan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai emas di sini pada Isnin.

Kesemua suspek tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun itu diberkas di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor sekitar jam 2.10 petang selepas hampir tiga jam kejadian dilaporkan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kes rompakan itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan barang kemas bernilai hampir RM1.4 juta yang dilarikan.

Iklan

"Buat masa ini, barang kemas masih belum dijumpai.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan bersenjata," katanya.

Iklan

Media melaporkan, maklumat kejadian itu diterima polis pada jam 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Suspek dilihat memakai sarung muka, bersenjatakan parang dan tukul telah bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut.

Insiden rompakan itu sempat dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di media sosial.