Ada letupan, kakitangan LPP terpaksa keluar dari bangunan

Iklan
Kakitangan LPP terpaksa keluar dari bangunan yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin dekat sini kerana dipercayai berlaku letupan di tingkat lima bangunan tersebut.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terpaksa keluar dari bangunan yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin dekat sini kerana dipercayai berlaku letupan di tingkat lima bangunan tersebut.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Iklan
Iklan

Beliau sepatutnya menyertai sesi libat urus bersama media yang dijadualkan kira-kira jam 2.30 petang.

Kelihatan satu jentera bomba telah tiba dilokasi kejadian bagi memeriksa kejadian tersebut.

Iklan

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Rusdi Ismail berkata, kebakaran kabel bawah tanah dipercayai menjadi punca suasana di bangunan LPP di Jalan Sultan Salahuddin dekat sini dikejutkan dengan bunyi letupan dalam kejadian pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 2 petang.

Iklan

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan kekuatan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 2.09 petang kemudiannya menerima makluman awam berkaitan letupan di dalam bilik elektrik di salah satu tingkat di bangunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan awal kemudian dijalankan bagi mengenal pasti punca awal kejadian.

"Hasil pemeriksaan anggota bomba bersama juruelektrik bangunan mendapati letupan berpunca daripada kebakaran kabel dibawah tanah.

"Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan dan juga mangsa di lokasi kejadian," ujarnya.