Mahkamah batalkan petisyen pilihan raya Suka Menanti, kekal kepada PN

Iklan
Zamri (kiri) gagal untuk mencabar keputusan PRN bagi DUN Suka Menanti, 12 Ogos lepas yang dimenangi Dzowahir.

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan Ketua Penerangan PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, 12 Ogos lepas.

Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan dua responden iaitu Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri Suka Menanti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen itu sekali gus mengekalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), di kerusi tersebut pada PRN.

Iklan
Iklan

Peguam Dr Mohamed Sofee Razak yang mewakili Zamri ketika dihubungi berkata, mahkamah yang membuat keputusan itu secara dalam talian mengarahkan Zamri, yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Suka Menanti membayar kos RM15,000 kepada responden.

Responden diwakili antaranya Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Sallehuddin Ali dan Nur Idayu Amir.

Iklan

Petisyen pilihan raya itu difailkan pada 18 September lepas atas dakwaan terdapat keraguan, kesilapan dan kecatatan jumlah undi dalam 18 keping Borang 14 yang memberi kesan besar kepada keputusan PRN. - Bernama

Iklan