Isu Dong Zong: Tiada keperluan ulas isu yang telah capai kata sepakat

Iklan
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tiada keperluan untuk beliau mengulas isu yang telah mencapai kata sepakat.

Kenyataan Syed Saddiq itu merujuk kepada hasrat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang bertegas mahu menganjurkan Kongres Organisasi Cina pada 28 Disember ini.

Iklan
Iklan

"Saya rasa perkara itu (isu Dong Zong) pun mereka sudah mencari jalan kompromi iaitu jalan tengah.

"Malah, ia turut dibincangkan dengan panjang di peringkat Kabinet dan kita telah capai konsensus atau kata sepakat.

Iklan

"Jadi perkara itu (keputusan Kabinet) harus dihormati,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Sidang Kemuncak e-Usahawan Hero Muda 2019 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Syed Saddiq yang Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Dong Zong bahawa penganjuran kongres itu bakal membawa kepada kekacauan.

Iklan

Sebelum ini, Dong Zong dilaporkan tetap akan mengadakan kongres itu pada 28 Disember ini.

Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata, kongres itu merupakan program aman yang bertujuan menyampaikan permintaan damai pertubuhan Cina mengenai pengajaran tulisan jawi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, beliau tidak mahu isu berkaitan kesihatan beliau terus diberi perhatian.

Menurutnya, masih banyak lagi perkara penting yang perlu diberi keutamaan berbanding perkembangan kesihatan beliau.

Dalam pada itu, Sidang Kemuncak e-Usahawan Hero Muda 2019 yang berlangsung sehari itu dihadiri lebih 1,000 e-usahawan muda dari seluruh negara.

Persidangan itu dihadiri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang bertindak sebagai panelis bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang ekonomi.