18 bungkusan 'teh Cina' berisi syabu dirampas

Iklan
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan syabu yang disorokkan dalam teh Cina dirampas dalam serbuan di kawasan paya bakau, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Polis meramas 18 bungkusan 'teh Cina' mengandungi dadah jenis syabu yang disorok dalam kawasan paya bakau di Parit Jawa, Muar pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muar dibantu Pasukan Polis Marin Wilayah 2 selepas membuat intipan.

Iklan
Iklan

"Selepas mendapat maklumat orang awam, polis melakukan pemerhatian dari jam 1 sehingga 3 petang di kawasan tersebut. Dadah tersebut kemudian dirampas kerana ditinggalkan terbiar selepas pemerhatian dibuat.

"18 bungkusan dadah itu seberat 19,768 gram bernilai RM652,344. Pihak polis percaya ia didalangi sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha mengesan suspek yang terlibat dalam pengedaran dadah tersebut.

Tambah beliau, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 98,840 penagih.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, sejak 1 Januari sehingga 9 Oktober lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menangkap 13,341 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Beliau memberitahu, dalam tempoh tersebut pihaknya berjaya merampas 4.26 tan metrik dadah bernilai RM32.82 juta selain harta sindiket bernilai RM11.79 juta.

"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline talian 012-2087222," ujar beliau.