Tekong, awak-awak Thailand ditahan langgar syarat sah lesen

Iklan
Bot bersama kira-kira 2000 kg hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah pagi tadi menahan sebuah bot pukat tunda kelas C kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

APMM turut merampas 2,000 kilogram (kg) hasil tangkapan dan menahan seorang tekong serta tiga awak-awak berusia di antara 37 hingga 58 tahun warga Thailand yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mereka ditahan pada kedudukan kira-kira 13.2 batu nautika dari Pantai Yan dekat sini kira-kira jam 12.45 tengah hari.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Mahmad Faizal menegaskan, pengusaha bot nelayan perlu mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah.