Takungan empangan MADA 40.13 peratus, 117 pam air sokong keperluan tanaman

Iklan
Taburan hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata antara Januari hingga Mei 2026 berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan.

ALOR SETAR – Jumlah simpanan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencatatkan 40.13 peratus atau 490,789 ekar kaki setakat Selasa lalu berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang menjejaskan aliran masuk air ke empangan.

MADA berkata, jumlah simpanan itu merangkumi Empangan Pedu sebanyak 357,195 ekar kaki atau 40.82 peratus, Empangan Muda (32,400 ekar kaki, 25.92 peratus) dan Empangan Ahning (101,194 ekar kaki, 45.38 peratus).

Iklan
Iklan

Menurutnya, taburan hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata antara Januari hingga Mei 2026 berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Keadaan ini telah menjejaskan aliran masuk air sekali gus menyebabkan paras takungan empangan merosot.

Iklan

“Dalam tempoh sama, MADA telah melaksanakan pelepasan air empangan secara terkawal bagi menyokong aktiviti penanaman semula padi Musim 2/2025 susulan kejadian banjir yang menjejaskan sebahagian kawasan sawah,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, bagi mengurangkan penyusutan simpanan air, MADA menyarankan pesawah memanfaatkan air hujan yang bertakung di kawasan sawah sebagai sumber pengairan bagi Musim 1/2026 tanpa pelepasan air empangan untuk tujuan berkenaan.

Iklan

Pelepasan air secara berhemat hanya dilaksanakan bagi memenuhi keperluan domestik dan industri serta mengekalkan paras air dalam saluran bagi tujuan pengukuhan tebing.

“MADA turut meneruskan pengoperasian 117 pam guna semula bagi memanfaatkan air dalam sistem saliran dan sungai untuk menyokong keperluan tanaman.

“Pengendalian struktur kawalan air serta sistem pengairan juga dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air ke kawasan sawah,” ujarnya.

Dalam usaha menambah simpanan air empangan, MADA memaklumkan lima siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah dilaksanakan sejak Februari 2026 dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.

Menurutnya, susulan permohonan MADA pada 15 September lalu, NADMA bersetuju melaksanakan OPA di kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu pada Isnin hingga Khamis lalu bagi menggalakkan hujan untuk meningkatkan aliran masuk air serta menambah simpanan empangan.

“Pemantauan berterusan turut dilakukan menerusi Sistem Telemetri bagi memantau paras takungan empangan dan keadaan kawasan tadahan hujan.

“MADA akan terus memantau perkembangan cuaca serta paras takungan ketika fasa Peralihan Monsun sebelum bermulanya Monsun Timur Laut bagi mengoptimumkan pengumpulan dan pengurusan sumber air,” katanya lagi.

Tambah MADA, pihaknya memahami kebimbangan pesawah mengenai ketersediaan air bagi musim penanaman padi akan datang dan akan terus memperkukuh pengurusan sumber air menerusi pemantauan berterusan, pengoptimuman sumber sedia ada serta penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan.