'Saya mohon maaf atas kegagalan kontinjen kita...'

Iklan
Reaksi Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada sidang media berkenaan laporan prestasi Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Filipina 2019 di Pusat Media Sukan SEA 2019, Asean Convention Center, hari ini. - Foto Bernama

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memohon maaf di atas kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, kegagalan tersebut disumbangkan oleh beberapa faktor selain menyifatkan Sukan SEA pada kali ini lebih sukar berbanding edisi sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Secara rangkuman saya selaku ketua kontinjen ingin menyatakan bahawa kita tidak berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini. Saya mahu mohon maaf atas kegagalan kontinjen kita pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 ini dan kepada rakyat Malaysia.

"Saya selaku ketua kontinjen ingin berkongsikan bahawa Sukan SEA kali ini paling mencabar pernah saya hadiri berbanding lapan atau sembilan edisi yang lepas.

Iklan

Malaysia menghantar 772 atlet - paling ramai dalam sejarah penyertaan Sukan SEA namun hanya meraih 56 pingat emas berbanding 70 pingat yang disasarkan sebelum ini.

Selain itu Megat Zulkarnain turut menyifatkan janji manis persatuan sukan yang terlalu yakin turut menyumbang kepada kegagalan tersebut.

Iklan

"Ada beberapa sukan yang mengesahkan sasaran mereka dengan terlalu yakin. Ia berdasarkan kepada kejayaan dalam penyertaan dalam kejohanan yang disertai sebelum ini seperti memanah, pelayaran dan boling.

"Mereka mengesahkan pingat yang berbeza dan tidak mencapainya pada Sukan SEA kali ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu segala pingat milik Vietnam

Malaysia hantar bantahan rasmi penarikan emas Izzah

Beliau berkata, antara faktor lain yang turut digariskan ialah penyertaan sukan baharu daripada atlet Malaysia pada temasya Sukan SEA kali ini di mana Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkaitan tidak mempunyai rekod kejayaan atlet di peringkat antarabangsa.

"Kita terima 100 peratus pembentangan oleh persatuan sukan ini. Namun demikian kita ada buat sedikit penilaian dengan kurangkan jumlah sasaran pingat mereka. Kita juga dimaklumkan oleh persatuan sukan yang menyatakan keyakinan mampu meraih emas tetapi gagal," katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain turut mendedahkan bahawa mutu pengadilan yang mencabar daripada penganjur turut menjadi punca kepada kegagalan itu.

"Kita hampir kehilangan dua pingat emas kalau tidak bersungguh-sungguh membuat bantahan. Semalam bagi acara gimnastik kita sudah dapat jawapan (pingat emas dipulangkan selepas ditarik). Selain itu bagi acara 110 meter lari berpagar kita terlepas pingat emas.

"Beberapa acara melibatkan sistem penjurian (juga menjadi faktor kegagalan mencapai sasaran pingat). Kebanyakan acara ini tidak mengikut buku teknikal yang mereka sendiri rumuskan untuk peserta.

"Ada banyak peraturan ditukar sewaktu kontinjen telah sampai. Kebanyakan keputusan dibuat dengan pengurus-pengurus pasukan menerusi mesyuarat," katanya.

Walaupun gagal meraih menepati sasaran pingat, pujian wajar diberikan kepada atlet Malaysia yang memberikan persembahan terbaik walaupun terpaksa akur dengan kehebatan lawan di pentas akhir.

"Saya hadir menonton perlawanan akhir ragbi. Saya bangga melihat 100 peratus anak-anak Malaysia menyarung jersi negara. Ada rakan-rakan media yang turut serta pada perlawanan itu.

"Kita menangis mengalir air mata. Ia ibarat bukan pasukan Malaysia menentang tuan rumah tetapi negara lain. Tujuh pemain Filipina itu daripada negara lain tetapi pemain Malaysia berjuang sehingga saat akhir. Itu antara faktor (kegagalan meraih emas)," katanya.

Justeru kegagalan itu tidak perlu diperbaiki kerana masih ada ruang dan peluang bagi membaiki prestasi atlet negara ke peringkat lebih besar.

"Kita mesti adakan bedah siasat terperinci bagi mencari kelemahan dan kekurangan kontinjen negara kali ini," katanya.