Kadar semasa tarif elektrik pengguna domestik kekal

Iklan
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR - Kadar efektif tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi pengguna domestik akan dikekalkan, manakala kadar surcaj pengguna komersial dan industri diturunkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, Kabinet telah bersetuju untuk menetapkan kadar efektif tarif elektrik tersebut berdasarkan mekanisme Incentive Based Regulations (IBR) atau Kawal Selia Berasaskan Insentif.

Iklan
Iklan

"Sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) supaya tidak ada surcaj akan dikenakan kepada pengguna domestik.

"Oleh itu, kadar efektif tarif elektrik akan dikekalkan, tidak akan meningkat pada kadar efektif asas iaitu 39.45 sen per kilowatt jam (kWj), ini adalah 18 bulan berterusan tiada peningkatan melalui surcaj dikenakan kepada pengguna elektrik domestik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan status perlaksanaan mekanisme IBR dalam menentukan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia setiap enam bulan serta sama ada tarif akan meningkat pada Januari 2020. - Bernama