Flat Taman Keramat Permai kembali retak

Iklan
Anggota bomba memeriksa retakan yang berlaku pada bahagian laluan koridor Blok F Flat Taman Keramat Permai di sini hari ini.

AMPANG - Bangunan Blok F Flat Taman Keramat Permai di sini kembali retak pada bahagian laluan koridor bermula daripada tingkat satu hingga lima.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Ariff Mohamed Kassim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan masalah tersebut pada 11.20 pagi daripada penduduk flat itu.

Iklan
Iklan

"Seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi terbabit dan berdasarkan laporan memang terdapat retakan di bahagian laluan koridor bangunan di tingkat satu hingga lima.

"Kerosakan itu berlaku di tempat sama seperti yang pernah berlaku pada April tahun ini. Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan penduduk untuk mengosongkan bangunan kediaman ini.

Iklan

"Tindakan yang diambil pihak bomba ialah memasang sawar-sawar dan memaklumkan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, pihak MPAJ ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan menunggu arahan untuk mengarahkan penduduk mengosongkan bangunan berkenaan.

Iklan

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa ada penduduk telah mengambil inisiatif mengosongkan kediaman mereka atas faktor keselamatan.

Pada Mei lalu, lebih 200 penduduk Blok F di Flat Taman Keramat Permai yang sebelum ini ditempatkan di dewan serba guna dibenarkan pulang ke rumah mereka selepas bangunan itu disahkan selamat untuk diduduki oleh dua perunding yang dilantik PKNS.