Kewartawanan menuju kematian?
Iklan
Cabaran dunia atas talian dan media sosial terlalu besar untuk ditangani secara bersendirian oleh syarikat-syarikat penerbitan akhbar. -Gambar hiasan 123RF.
HARI ini kita menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) buat kali kedua dalam sejarah. Kita boleh berbangga dengan tradisi kewartawanan negara yang panjang dan penuh sejarah perjuangan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan.
Sejak 1800-an, akhbar telah memainkan peranan penting di Tanah Melayu, bukan sekadar melaporkan tetapi membina jalan sebuah negara bangsa merdeka. Perbahasan perjuangan kemerdekaan, penentangan terhadap penjajah, perdebatan intelektual Islam antara golongan tua dan muda, pembinaan jati diri bangsa, bahasa dan tanah air disuburkan.