Adam Rosly tetap masuk jel, didenda

Iklan
Adam Rosly gagal dalam rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM30,000 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 terhadap bekas Ketua Pemuda PKR Ampang, Adam Rosly Abdullah atas kesalahan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu atas pandangan, tiada keperluan untuk masuk campur dengan keputusan yang dibuat hakim di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya tolak permohonan rayuan ini dan mengekalkan sabitan serta hukuman sedia ada,” katanya.

Tahun lalu, Adam Rosly didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, atas enam pertuduhan memberi pernyataan palsu kepada SPRM berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Iklan

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Februari 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama