Semua tertakluk pada Perlembagaan

Iklan

SETIAP kali orang menepuk belakang atau memegang tangan saya dan berkata, terima kasih atas keberanian saudara dan teruskan apa yang saudara lakukan, saya berasa sedih.

Pertama sekali soal berani tidak timbul melainkanlah orang yang mengatakan saya berani itu adalah seorang yang dilahirkan penakut.

Iklan
Iklan

Kalau itulah keadaannya, saya lagi sedih kerana bilangan yang menepuk belakang atau memegang tangan saya dan berkata saya berani adalah besar.

Takkanlah begitu ramai rakyat Malaysia, lelaki perempuan, Melayu, Cina dan India penakut?

Iklan

Tidak ada apa pun yang istimewa atau berani yang saya lakukan. Saya sekadar melaporkan, mengulas dan menganalisis apa yang berlaku di sekeliling kita.

Macam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tulis dalam blog beliau Chedet bertajuk"The Rule of Law” pada 2 Januari, negara kita ini ada undang-undang yang berkuat kuasa ke atas semua orang.

Iklan

Selagi kita tidak langgar undang-undang seperti merampas harta orang, memberi atau menerima rasuah dan memukul atau merogol anak orang, kita hendak takut apa?

Masalahnya sekarang ada orang yang buat kerja itu semua dan tidak rasa takut atau bersalah sebab mereka rasa mereka berada di atas daripada undang-undang atau bila laporan dibuat ke atas mereka sekali pun polis tidak berani siasat.

Kalau polis cepat siasat orang yang dituduh hina raja tapi lambat atau langsung tidak siasat repot jenayah yang babitkan keluarga diraja, tentulah orang ramai marah.

Macam Dr Mahathir kata, undang-undang berkuat kuasa ke atas semua orang daripada raja-raja kepada perdana menteri dan menteri, kakitangan awam dan rakyat jelata.

Tidak ada peruntukan Perlembagaan yang mengecualikan sesiapa pun daripada hukuman. Cuma bagi raja-raja ada mahkamah khas mereka sendiri. Itu pun undang-undang yang dipakai oleh mahkamah khas tersebut adalah sama seperti yang dipakai untuk orang biasa.

Jadi, kata Dr Mahathir, raja-raja pun wajib menghormati undang-undang.

Katanya lagi, adalah amat membimbangkan melihat pelanggaran undang-undang sesuka hati atas kepercayaan kononnya mereka menikmati kekebalan.

Seperti yang telah saya nyatakan berulang kali, kekebalan raja hanya terhad kepada tugas-tugas rasmi negeri dan negara sahaja.

Sejak kita pinda Perlembagaan pada tahun 1993, sudah ada seorang raja yang dihadapkan ke mahkamah khas atas tuduhan menipu rakan kongsi baginda tetapi tidak dibicarakan kerana pengadu adalah warganegara asing.

Mahkamah memutuskan orang asing tidak boleh mengemukakan saman ke atas seorang raja Melayu. Pada masa sama, kita pun dengar dan baca berita mengenai anak raja yang pukul anak raja lain sehingga cedera parah tetapi tidak ada kes dikemukakan di mahkamah.

Pihak polis kenalah adil dan profesional. Kalau mereka cepat menyiasat orang yang kena repot menghasut kerana menulis atau berucap mengenai raja, mereka pun kenalah siasat repot jenayah mengenai anak-anak raja.

Dalam hal ini orang politik pun ramai hipokrit dan oportunis. Kita sudah tengok tindak-tanduk sesetengah daripada mereka apabila berdepan dengan istana.

Maaf cakaplah kalau saya katakan kepada seorang menteri besar tertentu yang mewakili Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa beliau mungkin telah tidak menyatakan kebenaran kepada saya sepanjang mengenai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Saya bertanya beliau hal tersebut kerana semua orang tahu apa yang telah dan sedang berlaku di negeri yang beliau ketuai. Beliau berkata tidak ada campur tangan dan beliau bebas mentadbir. Sebaliknya beliau menyalahkan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) bagi hal-hal yang saya bangkitkan.

Malangnya, ada ahli Exco dan ahli Dewan Undangan dari parti beliau sendiri memberitahu saya bahawa keadaan tidak banyak berbeza daripada ketika pemerintahan BN.

Saya cadangkan mana-mana menteri, menteri besar dan ketua menteri yang berasa mereka tidak cukup daulat untuk memikul tanggungjawab dan menggalas mandat rakyat jelata silalah undur diri.

Begitu juga dengan kakitangan awam dan anggota pasukan keselamatan yang berasa mereka tidak boleh menjalankan tugas secara profesional kerana kurang keberanian atau kerana telah termakan budi.

Kita mahu Malaysia Baharu menjadi negara yang telus, bebas rasuah, profesional, bertamadun, sama rata dan egalitarian berlandaskan kedaulatan undang-undang. Wallahuaklam.