'Setakat ini Moorthy belum tarik kenyataan'

Iklan
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda supaya tindakan diambil ke atas Waytha Moorthy berhubung ketegangan ditimbulkan.

SUNGAI PETANI – Pas Sungai Petani mendesak pihak berkuasa menahan, menyiasat dan mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy atas fitnah yang ditaburkan.

Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Sungai Petani, Othman Che Mee berkata, walaupun kenyataan menteri terbabit sudah lama didedahkan kepada wartawan Belanda, namun setakat ini beliau masih belum menarik balik kenyataan yang kini menjadi tular di media sosial.

Iklan
Iklan

"Banyak isu ditimbulkan sejak akhir-akhir ini menyebabkan beliau gagal mengawal ketegangan yang semakin memuncak walaupun diberikan mandat untuk menjaga keharmonian kaum melalui menteri perpaduan.

"Saya selaku Ketua Urusan Ulama bersama Dewan Pemuda Pas Sungai Petani mewakili Pas Kawasan Sungai Petani berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menangkap, menyiasat dan mendakwa beliau atas kenyataan yang telah dibuat,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kenyataan terbabit berbaur fitnah, berunsur hasutan dan merupakan satu pembohongan.

"Antara kenyataan yang dibangkitkan termasuklah kerajaan terdahulu melakukan diskriminasi terhadap kaum India, merobohkan lebih 10,000 kuil, dan paksaan kepada kaum India yang ingin memasuki sektor awam supaya memeluk agama Islam terlebih dahulu.

Iklan

"Beliau juga dilihat berkeras mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atas kapasitinya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun mendapat tentangan dari Bumiputera,” katanya.

Othman berkata, susulan desakan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda kelmarin agar tindakan lanjut dilakukan.

"Laporan itu juga sebagai tanda tidak bersetuju dengan kenyataan fitnah dan pembohongan yang dibuat kepada wartawan Belanda kerana mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

"Kami berharap dengan laporan dibuat terhadap beliau, satu siasatan dilakukan oleh PDRM bagi menangkap dan mendakwa beliau kerana menimbulkan ketegangan,” katanya.