Bergaduh sebab anak kucing

Iklan
PDRM
JOHOR BAHRU – Hanya kerana anak kucing, seorang lelaki bertindak menumbuk seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Skudai, di sini, penghujung bulan lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supritendan Faris Ammar Abdullah berkata, dalam kejadian yang berlaku pada 28 Oktober lepas, kira-kira jam 6.26 petang itu, mangsa telah memberitahu ternampak seekor anak kucing di bahagian bonet belakang kereta lelaki tersebut.

"Bagaimanapun, suspek yang berusia 35 tahun tidak mempercayai kata-kata pengawal keselamatan yang berumur 36 tahun serta menuduhnya menipu.

"Berikutan itu, berlaku pertengkaran dan suspek bertindak menolak mangsa dan terus menumbuknya dengan menggunakan tangan pada bahagian pipi sebelah kiri sebelum beredar dari lokasi tersebut,” katanya.

Faris Ammar berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tun Aminah, di sini, pada hari yang sama kira-kira jam 6.52 petang.

"Suspek kemudiannya berjaya ditangkap semalam kira-kira jam 3.30 petang di Taman Selesa Jaya dekat Nusa Bestari untuk siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya yang memberitahu mangsa dan suspek merupakan rakyat tempatan.