Nenek rugi RM10,000 ditipu Macau Scam

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN- Seorang pesara kerajaan rugi RM10,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa dirinya terlibat dalam jenayah judi dalam talian, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa wanita berusia 60 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa bahawa talian telefon yang digunakannya akan ditamatkan perkhidmatan kerana terbabit dalam jenayah perjudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu, namun panggilan berkenaan disambung kononnya ke Pusat Bahagian Khidmat Pelanggan Telekom Malaysia (TM) di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

"Hasil semakan rekod TM mendapati terdapat talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa dan dikatakan terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Iklan

"Seterusnya panggilan mangsa di sambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman yang mana menyatakan bahawa namanya juga terbabit dalam penggubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, mangsa diminta untuk memindahkan kesemua wang simpanannya ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek untuk tujuan siasatan pihak polis.

Iklan

Katanya, hari yang sama, mangsa membuat pindahan berjumlah RM10,000 ke dalam akaun berkenaan di sebuah bank di Mentakab,Temerloh.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata, suspek masih lagi meminta mangsa menambah bayaran.

"Mangsa kemudian berasa dirinya ditipu dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam," katanya.

Jelasnya, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan kepada mangsa sehingga mendorongnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.