Hajat nak pinjam RM20,000, tapi akhirnya...

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN - Dua individu terpaksa berputih mata akibat terpedaya iklan pinjaman wang dalam talian melibatkan dua kes berasingan.

Bukan sahaja duit yang ingin dipinjam tidak diperoleh, sebaliknya menanggung kerugian sebanyak RM27,460 iaitu melebihi jumlah pinjaman yang ingin dipohon.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama melibatkan mangsa berusia 35 tahun yang tertarik dengan iklan pinjaman wang di Facebook dengan membuat permohonan pinjaman sebanyak RM20,000 untuk urusan pusingan modal perniagaan.

"Permohonan mangsa kononnya diluluskan tetapi dia diminta membuat beberapa bayaran melibatkan guaman, insurans, cukai kerajaan, bayaran mengaktifkan akaun dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Iklan

"Mangsa memasukkan wang berjumlah RM18,460 sebanyak 26 kali pembayaran ke dalam lapan akaun berasingan pada awal September lalu," katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima wang pinjaman walaupun kesemua pembayaran dilakukan dan seterusnya bertindak membuat laporan polis.

Iklan

Menurutnya, pihak polis sedang berusaha mengesan kesemua lapan suspek yang merupakan pemilik-pemilik akaun dalam kes tersebut.

Bagi kes kedua, mangsa merupakan ejen takaful berusia 20 tahun juga terpedaya dengan modus operandi sama yang memaklumkan pinjaman beliau menerusi internet berjumlah RM20,000 telah lulus dan mangsa telah diminta menyerahkan butiran peribadi iaitu salinan kad pengenalan dan penyata bank sebagai permulaan proses pinjaman pada 17 Oktober lalu.

"Pada 21 Oktober mangsa dimaklumkan pinjaman wang telah lulus dan diminta membuat beberapa pembayaran yang keseluruhannya berjumlah RM9,000 dan hanya menyedari diri ditipu selepas melakukan kesemua transaksi tersebut," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.