Mavcom belum terima rekod kadar kesesakan di kaunter Imigresen KLIA2

Iklan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendakwa pihaknya belum menerima perkongsian rekod kadar kesesakan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) daripada pihak AirAsia selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes menimbulkan perkara itu.

Mavcom dalam satu kenyataan berkata, pada Ogos lalu, pihaknya telah menerima satu surat daripada AirAsia Berhad berkenaan waktu menunggu lama yang sering berlaku di kaunter imigresen KLIA 2.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan surat tersebut, AirAsia menekankan bahawa mereka telah merekod kadar kesesakan di kaunter imigresen di KLIA2 setiap hari.

"Suruhanjaya kemudiannya meminta rekod harian tersebut oleh kerana maklumat ini akan menjadi penambahan penting kepada maklumat dan data yang telah sedia diperoleh oleh pihaknya.

Iklan

"Suruhanjaya juga telah menyatakan dengan jelas dalam maklum balasnya kepada AirAsia bahawa Mavcom dijadualkan untuk berjumpa dengan Jabatan Imigresen Malaysia. Oleh itu, Suruhanjaya telah meminta AirAsia untuk berkongsi rekod harian tersebut dengan Suruhanjaya sebelum mesyuarat ini berlangsung.

"Ini kerana maklumat ini dapat membantu dalam perbincangan mesyuarat tersebut. Walaupun suruhanjaya telah menghantar beberapa peringatan kepada AirAsia untuk rekod ini namun begitu tiada maklum balas yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Kenyataan turut menyebut bahawa Mavcom akan meneruskan rancangan untuk berjumpa dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bagi membincangkan isu waktu menunggu yang lama di kaunter imigresen.

"Suruhanjaya amat komited untuk terus bekerjasama dengan agensi lain di dalam industri penerbangan Malaysia, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan imigresen di kesemua lapangan terbang Malaysia.

"Suruhanjaya komited dalam menyediakan penyelesaian serta pembangunan jangka panjang bagi industri penerbangan Malaysia. Rangka Kerja QoS (Quality of Service) Lapangan Terbang, yang direka untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan terbang di Malaysia serta hasil perundingan suruhanjaya dengan pelbagai pihak berkepentingan, merupakan contoh usaha Mavcom dalam mencapai matlamat tersebut.

Jelasnya, suruhanjaya juga telah melaksanakan 20 elemen kualiti perkhidmatan di KLIA dan KLIA2 sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang.

"Pembangunan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang adalah mengikut jadual bagi pelaksanaan lapan elemen kualiti perkhidmatan yang lain termasuk berkaitan dengan waktu menunggu di kaunter imigresen, kaunter daftar masuk, kastam serta di kerbside.

"Suruhanjaya akan memantau prestasi waktu menunggu di kesemua lokasi ini seperti yang tertera di dalam Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik diberikan oleh kesemua pihak yang terlibat," katanya.