Wujudkan peraturan gig economy

Iklan

Beberapa minggu lepas, ratusan rider perkhidmatan sebuah syarikat penghantaran makanan telah mengadakan tunjuk perasaan dan boikot kerana tidak berpuas hati terhadap skim pembayaran yang diumumkan oleh syarikat tersebut.

Menurut mereka, skim baharu itu akan mengurangkan pendapatan mereka, walaupun syarikat menafikan dakwaan berkenaan. Malahan menurut syarikat, rider boleh mendapat pendapatan lebih dengan skim baharu tersebut.

Iklan
Iklan

Protes rider itu telah mendapat perhatian awam dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Jemaah Menteri telah mencadangkan kepada syarikat untuk kembali kepada skim pembayaran asal. Namun demikian, pihak syarikat bertekad untuk meneruskan dengan skim baharu.

Rencana itu tidak akan membincangkan siapa yang betul dan siapa yang salah dalam isu ini. Rider dan syarikat sudah tentu mempunyai hujah dan alasan mereka sendiri.

Iklan

Tetapi apa yang lebih penting lagi adalah pelan jangka panjang pihak kerajaan. Selain daripada cadangan kepada Foodpanda, Jemaah Menteri juga telah memutuskan bahawa satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang terdiri daripada tiga kementerian: Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Belia dan Sukan untuk melihat isu-isu berkenaan dengan apa yang dikenali sebagai gig economy.

Gig economy adalah ekonomi di mana syarikat-syarikat menggunakan khidmat ‘kontraktor bebas’ yang secara kebiasaan memberikan khidmat secara separuh masa atau sementara waktu. Contoh gig economy ialah perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grabfood serta perkhidmatan seru pandu seperti Grab dan MyCar.

Iklan

Bantahan rider Foodpanda menunjukkan terdapatnya keperluan untuk melaraskan gig economy melalui undang-undang dan peraturan.

Ini kerana, mereka yang terlibat dengan gig economy bukanlah pekerja syarikat tersebut. Mereka tidak memasuki perjanjian pekerjaan dengan syarikat, maka mereka tidak boleh bawa tuntutan mereka ke Pejabat Buruh atau ke Mahkamah Perusahaan.

Mereka tidak termasuk dalam takrifan ‘pekerja’ secara undang-undang.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan untuk membawa tindakan undang-undang.

Tidak dinafikan bahawa gig economy di seluruh dunia dikenali kerana ciri-ciri seperti kefleksibelan dan cara masuk yang tidak memerlukan kelayakan yang tinggi.

Tetapi pada masa sama, kita perlu iktiraf bahawa di Malaysia, ramai yang melibatkan diri dalam gig economy bukan kerana ciri-ciri gig economy tetapi kerana di luar sana pekerjaan yang ada tidak mencukupi atau sekiranya ada, gajinya rendah.

Oleh itu, ramai yang terlibat dengan gig economy kerana itu sahaja pilihan yang ada.

Dalam keadaan ini, terdapatkeperluan untuk memastikan bahawa mereka yang terlibat dengan gig economy itu tidak dieksploitasi oleh syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka. Kerajaan perlu memastikan bahawa kebajikan mereka yang terlibat dengan gig economy ini dijaga oleh syarikat-syarikat.

Di samping itu, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk meletakkan had pada komisyen yang boleh dikenakan seperti had komisyen 20 peratus untuk perkhidmatan seru pandu.

Sudah tentu, dalam melihat kepada keseluruhan aspek gig economy ini, tidak boleh ada terlalu banyak peraturan kerana ia akan membantutkan perkembangan gig economy. Kerajaan harus mencari keseimbangan yang betul dalam mengawal gig economy.

Pada masa sama, kerajaan juga harus melihat kepada isu-isu seperti peluang pekerjaan dan gaji, yang sudah tentu akan mengambil masa yang lebih panjang untuk diselesaikan.

Langkah pertama telah diambil dengan memperkenalkan inisiatif #MalaysiaKerja dalam ucapan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan baru-baru ini.