Jaga-jaga helah Britain ini

Iklan

KURANG 48 jam sebelum tirai tahun baharu 2019 dibuka, akhbar The Sunday Telegraph telah menerbitkan sebuah laporan yang mengejutkan pemerhati dunia ketenteraan dan perisikan.

Laporan tersebut yang bertajuk"Britain to become 'true global player' post-Brexit with military bases in South East Asia and Caribbean, says Defence Secretary” memuatkan temu bual bersama Setiausaha Pertahanan Britain, Gavin Williamson.

Iklan
Iklan

Seperti mana jelas terpampang di tajuk akhbar berkenaan, Gavin Williamson secara terbuka mengisytiharkan bahawa Britain merancang untuk membuka pangkalan tentera di Asia Tenggara dan Caribbean – secara khusus beliau menyebut kemungkinan membuka pangkalan berkenaan di Singapura dan Brunei.

Apakah konteks pengisytiharan ini? Apakah makna dan implikasi sebenar di sebalik keangkuhan negara bekas penjajah ini? Mengapakah kesemua 10 negara Asia Tenggara perlu menentang sekeras-kerasnya ‘penjajahan’ dalam bentuk baharu ini?

Iklan

Pada dasarnya, Setiausaha Pertahanan Britain mengumumkan rancangan ini sebagai fokus utama Britain pasca-Brexit yang akan berlangsung pada Mac 2019 nanti. Ringkasnya, beliau mengatakan bahawa sebaik sahaja keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), Britain akan ‘kembali menjadi kuasa global’ sekali lagi.

Pengumuman ini secara rasminya menandakan berakhirnya Strategi Timur Suez 1968 di mana Britain pada waktu itu mengundurkan keberadaan angkatan tentera mereka dari Asia Tenggara.

Iklan

Dalam kes negara kita, Strategi itu menyaksikan Britain menamatkan ‘pakatan ketenteraan’ pertama kita selepas mencapai kemerdekaan iaitu Anglo-Malayan Defense Agreement (AMDA) pada 1971 dan digantikan dengan aturan pertahanan yang lebih ringan: Five Power Defence Arrangements (FPDA).

Kerajaan Konservatif pimpinan Perdana Menteri Theresa May hari ini jelas menuruti arus ‘haluan kanan’ yang membawa kepada keputusan Brexit dalam referendum beberapa tahun lalu. Bukan sahaja Theresa May berkeras untuk memimpin Britain keluar dari EU, malah ternyata beliau cuba untuk mengembalikan reputasi Britain sebagai ‘kuasa dunia yang sebenar’; satu usaha yang pastinya disambut gembira oleh pendukung ‘haluan kanan’ di Britain.

Secara tidak langsung, rancangan Britain ini amat selari dengan ‘seruan’ (atau ‘desakan’) Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar negara sekutu AS turut sama menampung beban ketenteraan mereka di seluruh dunia.

Dalam erti kata mudah, Amerika mengendurkan beban mereka yang selama ini memimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Britain pula keluar daripada EU lalu ‘menyahut’ seruan Trump dengan membantu Amerika di Asia Tenggara.

Selain daripada menandakan kehadiran kembali kuasa ketenteraan Britain di Asia Tenggara pasca-Brexit, rancangan kerajaan Konservatif ini juga bakal memberi impak besar dalam konteks persaingan geopolitik di Laut China Selatan.

Hingga saat ini, Laut China Selatan telah menjadi tumpuan antara tiga pihak: China yang menuntut penguasaan ke atas lebih 80% Laut China Selatan, negara-negara Asia Tenggara yang masing-masing cuba untuk mempertahankan Zon Ekonomi Eksklusif masing-masing, dan juga Amerika yang kononnya hadir untuk ‘membanteras’ pencerobohan China di wilayah laut negara-negara Asia Tenggara ini.

Benar, negara-negara Asia Tenggara amat terdedah kepada ancaman pencerobohan China melalui kapal pengawal pantai dan nelayan mereka di samping tindakan berterusan China membina kelengkapan ketenteraan di pulau-pulau buatan di Kepulauan Spratly.

Namun begitu, hal ini tidak bermakna kuasa Barat boleh sewenang-wenangnya menggunakan alasan ‘Freedom of Navigation’ untuk mengukuhkan kehadiran ketenteraan mereka di rantau ini.

Sesungguhnya, kesemua 10 negara Asia Tenggara perlu membantah sekeras-kerasnya rancangan Britain ini – apatah lagi ia jelas bercanggah dengan prinsip Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (Zopfan) yang dipersetujui Asean sekian lama.

Berbanding bergantung harap pada bekas kuasa penjajah Barat bagi menangani ancaman China yang semakin hari semakin agresif di Laut China Selatan, negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Brunei sewajarnya membangunkan kerjasama strategik antara satu sama lain bagi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing.

Hubungan sedia ada dengan ketiga-tiga kuasa besar iaitu Britain, Amerika, dan China perlu dimanfaatkan ke arah memperkasa teknologi dan kepakaran tempatan – bukannya sekadar menjadi ‘pengguna’ yang berterus-terusan mengemis simpati mereka sedang dalam masa sama bersaing sesama sendiri ibarat mangsa pecah dan perintah.