Jerman henti hantar senjata ke Turki

Iklan
Angela Merkel. - Foto AFP

BERLIN - Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan negaranya tidak akan menghantar sebarang senjata ke Turki.

Pemimpin itu turut memberitahu, beliau telah beberapa kali menggesa Ankara untuk menghentikan operasi ketenteraannya di utara Syria.

Iklan
Iklan

"Beberapa hari lalu saya mendesak Turki menamatkan operasi ketenteraan terhadap militan Kurdish dan kali ini saya tegaskan perkara itu sekali lagi.

"Ia adalah drama kemanusiaan dengan kesan geopolitik yang sangat besar, jadi Jerman tidak akan menghantar senjata ke negara tersebut di bawah keadaan semasa sekarang," katanya.

Iklan

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau tidak akan bertemu dengan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo semasa lawatan mereka ke Ankara bagi membincangkan tentang serangan di Syria.

"Mereka akan bertemu rakan sejawatan mereka. Saya akan hanya bercakap apabila Presiden Donald Trump datang ke negara ini," tegasnya.

Iklan

Erdogan turut mengulangi pendiriannya bahawa operasi ketenteraan Turki di Syria akan diteruskan sehingga kumpulan militan itu menurunkan senjata dan keluar dari zon selamat.

Pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) terbabit juga menolak sebarang rundingan langsung atau tidak langsung dengan militan Kurdish dan menyifatkan satu-satunya cara untuk menghentikan serangan adalah militan menyerah kalah.

"Kami akan menghentikan operasi malam ini jika mereka berundur. Militan perlu meletakkan senjata, musnahkan semua perangkap dan keluar dari zon selamat yang kami tubuhkan," katanya. - Agensi