14 Januari kes petisyen kerusi Parlimen Tasek Gelugor

Iklan

GEORGETOWN - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan 14 Januari bagi pengurusan kes petisyen pilihan raya Tasek Gelugor yang difailkan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya untuk mencabar keputusan kawasan itu pada PRU14.

Penolong Kanan Pendaftar Mohd Ridzwan Salleh menetapkan tarikh itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan Borang 14 untuk diserahkan kepada peguam pempetisyen dan peguam responden-responden untuk pengurusan kes hari ini yang dijalankan di dalam kamar mahkamah.

Iklan
Iklan

Borang 14 SPR adalah dokumen yang mengesahkan jumlah undian calon yang diperoleh dari setiap pusat mengundi.

Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Marzuki, memaklumkan kepada pemberita tiada pengiraan semula undian dilakukan hari ini seperti yang dilaporkan media sebelum ini, sebaliknya SPR mengemukakan borang-borang yang terlibat dalam pilihan raya Parlimen Tasek Gelugor pada PRU14 lepas kepada kedua-dua pihak.

Iklan

"Pada 21 Disember lepas, Mahkamah Pilihan Raya yang bersidang di George Town berkaitan dengan petisyen Tasek Gelugor telah memerintahkan pihak SPR menampilkan dan menzahirkan Borang 14 untuk dibuat pada hari ini supaya apabila perbicaraan berjalan kelak maka ia memudahkan semua pegawai mahkamah termasuk peguam-peguam pihak masing-masing untuk menuruti dan melancarkan prosedur.

"Pada hari ini lebih kurang pukul 11 pagi tadi pihak SPR telah pun mematuhi dan melakukan apa yang telah diarahkan oleh mahkamah iaitu menampilkan borang-borang yang perlu, kesemua borang terlibat di Tasek Gelugor semasa PRU14 telah pun dibuka dan diserahkan salinan asal kepada mahkamah untuk simpanan," katanya.

Iklan

Mohamed Haniff berkata kedua-dua pihak pempetisyen dan responden juga diarahkan untuk tidak mendedahkan butiran berhubung Borang 14 itu kepada umum sehingga tarikh pengurusan kes pada 14 Januari.

"Perbicaraan belum ditetapkan tarikhnya, 14 Jan ini ialah sebutan lanjut untuk pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah kedudukan berhubung dengan perbicaraan kelak," katanya.

Pada PRU14, pada 9 Mei lepas, Marzuki, yang menyandang jawatan ketua Bersatu Pulau Pinang, kalah dalam pertandingan menentang Datuk Shabudin Yahaya daripada BN bagi kerusi parlimen Tasek Gelugor dengan 81 undi.

Dalam pertandingan bagi kerusi itu, Shabudin memperoleh 18,547 undi, Marzuki 18,466 dan Rizal Hafiz Ruslan daripada Pas, 14,891 undi.

Pada 12 Jun 2018, Marzuki memfailkan petisyen pilihan raya bagi menuntut pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan pengiraan semula 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

Dalam petisyennya, Marzuki menamakan Shabudin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tasek Gelugor responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Pada 18 September 2018, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Datuk Hashim Hamzah menolak petisyen Marzuki selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan peguam Simon Tan, mewakili Shabudin, yang berhujah bahawa petisyen itu mempunyai kecacatan.

Bagaimanapun, pada 28 November 2018, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya Pulau Pinang untuk diadakan pendengaran penuh.

Dalam keputusan majoriti 4-1, panel lima anggota itu membenarkan rayuan Marzuki untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen pilihan raya beliau berikutan bantahan awal dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.- Bernama