'Kerajaan terpaksa berhutang lebih banyak kerana defisit tinggi'

Iklan
JOHARI
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan defisit dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu iaitu 3.2 peratus lebih tinggi berbanding dengan Bajet 2018 iaitu 2.8 peratus.

Katanya, defisit tinggi menyebabkan kerajaan perlu meminjam lebih untuk menampung kelompongan disebabkan pendapatan negara berkurangan.

"Ramai tidak faham tentang defisit ini kerana ia sebenarnya keadaan di mana pendapatan negara hasil daripada cukai kemudian ditolak bagi tujuan perbelanjaan pengurusan, perbelanjaan pembangunan dan sebagainya. Jumlah negatif selepas itu adalah defisit.

"Sebab itu ketika kita menjadi kerajaan, kita cuba untuk untuk kurangkan defisit ini dengan harapan kita mampu kurangkan untuk meminjam. Bila ada defisit, kerajaan perlu meminjam untuk tampung kekurangan ini. Jika rendah defisit ini, maka kerajaan tidak perlu meminjam banyak," katanya pada Hujah Penerangan UMNO TV hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sasaran defisit fiskal itu disemak semula kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 berbanding 3.0 peratus sebelum ini, namun, ia kekal di landasan untuk mencapai 2.8 peratus dalam jangka sederhana.

Mengulas lanjut Johari berkata, hutang negara telah meningkat daripada RM681 bilion pada April 2018 kepada RM799 bilion sebelum Belanjawan 2020 dibentangkan dan wujud kemungkinan ia akan terus meningkat.

"Kerajaan perlu mencari jalan terbaik dan nyatakan kepada rakyat bahawa jika keadaan ini berterusan ekonomi negara tidak bagus dan pendapatan berkurangan. Saya harap ia tidak berterusan.

"Kerajaan perlu pastikan negara tidak sampai kepada tahap kita tidak mampu menjana pendapatan dengan bagus, mendapat pulangan yang bagus, gagal menarik pelabur. Ini perlu diambil kira," katanya.

Menurutnya, dalam usaha mendepani masalah ekonomi ia tidak boleh dicampur aduk dengan politik keterlaluan.

"Kadang-kadang keputusan yang dibuat itu mungkin tidak popular tetapi membawa kebaikan kepada negara. Kalau tidak boleh cakap tidak boleh kepada rakyat. Mengaku dan kerajaan akan selesaikan.

"Ini kerana ia melibatkan kesan besar iaitu 32 juta rakyat, ekonomi dan syarikat di negara ini," katanya.