Program Sarapan Percuma libat peruntukan sehingga RM1.6 bilion

Iklan
Maszlee Malik

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan antara RM800 juta sehingga RM1.6 bilion untuk Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan laksanakan di semua sekolah rendah mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, manfaat itu bakal dinikmati hampir 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah peruntukan itu bergantung kepada pelaksanaan bagi 200 hari persekolahan.

"Ia mengambil kira kos pembekalan makanan mentah di kawasan pedalaman termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) berkenaan peruntukan keseluruhan dan langkah-langkah diambil bagi mengelak berlaku pembaziran bagi pelaksanaan PSP itu.

Maszlee berkata, pihaknya turut mengambil pengalaman daripada pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dibuat sebelum ini bagi mengelak pembaziran.

Iklan

"Kita juga turut membuat program (PSP) rintis dalam tempoh dua bulan ini bagi memastikan ia berjalan lancar apabila dilaksanakan sepenuhnya nanti.

"Selain itu, pihak sekolah akan ambil langkah berpatutan mengikut prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak berlaku pembaziran," katanya.

Terdahulu, KPM mengumumkan pelaksanaan PSP kepada semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun depan.

PSP bertujuan untuk memberikan makanan tambahan yang memenuhi keperluan nutrisi penting bagi pertumbuhan fizikal dan kognitif murid-murid di sekolah rendah.