Tekad kita kurangkan sisa pepejal

Iklan
PENGURUSAN sisa pepejal merupakan salah satu isu alam sekitar yang sering mendapat tumpuan umum disebabkan oleh jumlah penjanaan sisa yang meningkat secara mendadak saban hari. Sisa pepejal juga merupakan hasil buangan daripada aktiviti sosioekonomi manusia yang mempunyai sifat kotor dan dianggap tidak berguna dan pengurusan sisa pepejal adalah antara masalah utama yang di hadapi oleh kebanyakan bandar di negara maju dan membangun.

Kuantiti sisa pepejal yang dijana setanding dengan jumlah penduduk yang menghuni sesuatu kawasan. Jadi pertambahan penduduk, peningkatan taraf sosioekonomi dan perubahan gaya hidup yang menjadi semakin canggih dan diikuti oleh peningkatan bahan buangan domestik, perniagaan dan kilang, merupakan faktor utama dalam peningkatan bahan sisa pepejal.

Unit Perancang Ekonomi 2005 menyatakan bahawa jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia telah meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 dan meningkat kepada 19,100 tan metrik sehari pada tahun 2005. Daripada jumlah tersebut dianggarkan 45 peratus adalah sisa makanan, 24 peratus plastik, tujuh peratus kertas, enam peratus besi dan tiga peratus kaca dan bahan-bahan lain.

Dalam hal ini, sampah yang dihasilkan oleh manusia seperti plastik, kertas, kaca dan besi sepatutnya boleh dikitar semula dan bukannya dibuang terus ke tapak pelupusan sampah. Program kitar semula yang sepatutnya dilakukan semasa aktiviti penjanaan.

Jenis sisa terbahagi kepada dua iaitu sisa baki dan sisa kitar semula, di mana sisa baki ini dimasukkan ke dalam tong seperti sisa basah dapur, sisa makanan, bahan-bahan kotor dan lampin pakai buang. Sisa ini hendaklah dibungkus terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.

Manakala sisa kitar semula adalah bahan sisa yang boleh dikitar semula yang perlu diasingkan mengikut jenis kumpulan seperti kertas, plastik, sisa kebun, sisa pukal dan lain-lain sisa yang boleh dikitar semula. Pengasingan sisa ini perlu dilakukan oleh masyarakat bagi mengelakkan pembuangan bahan yang boleh dikitar semula, mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan, dan mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.

Terdapat hierarki pengurusan sisa pepejal di Malaysia yang menunjukkan proses tersebut boleh dibahagikan kepada lima peringkat iaitu proses penjanaan, kutipan, pengangkutan, rawatan dan pelupusan. Masalah yang dihadapi di setiap peringkat menyebabkan proses pelupusan sisa pepejal yang tidak efisien.

Dalam pengurusan sisa pepejal faktor utama yang menjadi penghambat adalah kos yang terlalu tinggi bermula dari kutipan, pengumpulan hingga pengangkutan sampah ke tapak pelupusan. Keadaan bertambah teruk apabila terdapatnya kepincangan dalam sistem pengurusan dan kekurangan tenaga kerja dalam melaksanakan setiap tugas yang telah diamanahkan.

Kegagalan mematuhi jadual pemungutan yang dirancang juga menyebabkan jumlah sampah-sarap terkumpul bertambah. Akibatnya persekitaran fizikal menjadi tidak sihat bukan sahaja dari pandangan luar malah mewujudkan kesan sampingan lain seperti mendatangkan penyakit dan mengganggu kesihatan manusia.

Tapak pelupusan merupakan tempat pembuangan terakhir bagi sisa yang dihasilkan di sesuatu kawasan. Sampah di tapak pelupusan yang bertambah banyak dari semasa ke semasa boleh mendatangkan masalah kepada alam sekitar jika tidak diurus dengan sempurna. Penimbunan sampah yang berterusan adalah disebabkan oleh wujudnya kelemahan dalam sistem kutipan sisa buangan dan pengurusan di tapak pelupusan (Tan et al., 2002; Zaini, 2007). Pelupusan sampah perlu dilakukan secara bersepadu.

Oleh itu, bagi mencapai status negara maju tahun 2020, usaha mengurangkan penjanaan sisa pepejal secara berterusan perlu dilakukan melalui aktiviti 3R iaitu Reduce, Reuse, Recycle.

Langkah yang meliputi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan sisa pepejal mengenai perkara seperti pengurangan sisa pepejal dan pengasingan kitar semula, penggunaan teknologi, kos perkhidmatan dan mengenakan caj terhadap perkhidmatan.

Keadaan ini adalah bagi memastikan alam sekitar yang selamat dan bersih menerusi dasar pengurusan sisa pepejal dengan menggunakan teknologi yang berkesan, kos yang efektif dan mesra alam.* Penulis ialah penuntut Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) Fakulti Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)