Jerebu: Bomba Sri Aman hadapi cabaran kurang air

Iklan
Tinjauan dari udara kebakaran hutan seluas 25 hektar yang berlaku di Kampung STC, Sri Aman sejak tiga hari lalu.
 -Foto Bernama

SRI AMAN - Memasuki hari ketiga operasi, pasukan Bomba Sri Aman menghadapi cabaran kekurangan sumber air untuk melakukan kerja-kerja pemadaman hutan dan tanah gambut yang semakin merebak.

Ketua Bomba Zon 3 (Sri Aman), Nik Mohd Afiq Nik Roslan berkata, kekangan utama mereka sekarang ini ialah sumber air yang semakin berkurangan kerana faktor cuaca yang sangat panas dan kering.

Iklan
Iklan

"Kita mendapat maklumat daripada JBALB (Jabatan Bekalan Air Luar Bandar) bahawa takungan air di loji juga sudah surut sehingga ke paras kritikal.

"Sumber air dari pili bomba juga berkurangan dan ditambah pula dengan tekanan yang rendah menyukarkan lagi operasi kami,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di lokasi pemadaman di Kampung STC di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, dari segi pelan tindakan kebakaran di Kampung STC, pihaknya melakukan kerja-kerja ‘fire breaking’ dengan menggunakan dua jentera mesin pengorek (excavator) untuk mewujudkan akses pemadaman.

"Excavator itu digunakan untuk membuat sempadan (parit) supaya kebakaran dapat dikawal dan tidak merebak.

Iklan

"Pelan tindakan kebakaran di Jalan Kejatau-Sri Aman turut menggunakan kaedah yang sama dengan kekuatan tiga jentera excavator dan enam anggota,” katanya.

Selain itu, Nik Arif berkata, antara cabaran lain ialah kawasan kebakaran hutan yang luas dan merebak ke kawasan yang sukar untuk diakses oleh pasukannya kerana tiada jalan raya.

Pasukan Bomba Sri Aman turut mendapat bantuan daripada Bomba Kuching yang tiba semalam dengan kekuatan seramai 15 anggota dan seorang pegawai.

Keluasan kawasan kebakaran yang terjejas di Kampung STC ialah 25 hektar manakala di Jalan Kejatau-Sri Aman pula seluas 42 hektar. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: IPU meningkat di Sarawak