Ayah simbah air panas kerana dituduh mencuri RM10

Iklan
Kesan melecur pada badan mangsa yang disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai didera bapa kandungnya sendiri di sini.

Mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan disiram air panas di badannya selepas dituduh mencuri wang ibunya bernilai RM10 di Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata, dalam kejadian Khamis lalu, mangsa yang merupakan murid tahun dua itu melecur di lengan, rusuk dan dada kanan.

Menurutnya, bagaimanapun, mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan stabil.

Iklan

"Kejadian itu disedari salah seorang jiran di perumahan itu, lalu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Menurut pegawai perubatan, kesan melecur tersebut tidak memerlukan sebarang pembedahan plastik.

"Ia memadai dengan meletakkan skrub dan mencuci luka dengan ubat antibakteria. Peratusan melecur pada badan mangsa hanya tiga peratus dan dikategorikan sebagai 'mid-dermal burn'.

Iklan

"Mangsa kini dirawat di Wad C2 HPP iaitu di bilik pemerhatian untuk pesakit yang mengalami kesan terbakar. Mangsa boleh berkomunikasi namun kita perlu tunggu dia pulih sepenuhnya untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa merupakan anak kedua daripada empat adik beradik lelaki itu dikatakan sering diabaikan oleh kedua ibu bapa mereka.

"Anak sulung berusia sembilan, ketiga enam dan yang bongsu berusia tiga tahun. Menurut jiran, kesemua mereka diabaikan ibu bapa dan sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

"Suspek iaitu bapa mangsa yang berusia 41 tahun telah melarikan diri bersama isterinya selepas pemeriksaan di rumah dan tempat kerja didapati kedua-duanya tiada," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.