Revolusi Industri 4.0 paradigma 2019

Iklan

REVOLUSI Industri 4.0 atau Industri 4.0 mewarnai gaya hidup dan tindakan masyarakat dunia. Ia memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar. Menjelang 2019, Malaysia antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi 4.0.

Secara umumnya, ia melibatkan Internet of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang lebih kepada penggunaan teknologi maklumat (IT). Contohnya masa kini kita mula berbicara mengenai rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan dalam teknologi pintar melalui Industri 4.0.

Iklan
Iklan

Malahan kini televisyen bukan sahaja sebagai media informasi dan hiburan semata-mata, tetapi boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan ke mana sahaja manusia bergerak atau penggera.

Revolusi Industri 4.0 yang pada dasarnya lanjutan daripada Industri 3.0 iaitu revolusi digital.

Iklan

Satu teras utama dalam Revolusi Industri 4.0 adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau AI. Menerusi AI, sistem fizikal siber dengan sistem boleh menghubungkan dunia digital, sistem fizikal dan manusia melalui internet. Data daripada manusia digunakan untuk peralatan elektronik berfungsi dengan lebih baik seperti apa yang berlaku dalam telefon pintar, televisyen pintar, rumah pintar dan sebagainya.

Selain dari itu, teknologi Robotik Automasi pula berkeupayaan untuk beroperasi dalam persekitaran kerja yang sama seperti apa dilakukan manusia. Teras-teras lain yang dikaitkan dengan Industri 4.0 adalah Teknologi Pemprosesan Awan terutamanya dalam penyimpanan dan pemprosesan data. Manakala IoT yang menghubungkan deria pintar pada peralatan dengan sambungan internet.

Iklan

Sekuriti Siber pula bagi melindungi data dan meminimumkan risiko dan Cetakan 3D yang memudahkan pembangunan prototaip. Realiti Maya pula dapat menyediakan maklumat visual secara maya. Manakala Realiti Berperantara yang menggabungkan dunia fizikal dengan dunia maya serta Analisis Data Besar yang menggunakan data dikumpul untuk penyediaan perkhidmatan dan melakukan unjuran yang lebih tepat.

Kita seharusnya berbangga dengan kejayaan Grab yang berasaskan aplikasi My Teksi, yang dihasilkan rakyat Malaysia. Namun sejauh mana rakyat Malaysia bersedia dan menyahut kecanggihan revolusi ini untuk merubah cara dan gaya hidup masa kini dan hadapan? Pada dasarnya masyarakat kini banyak bergantung kepada teknologi internet. Maka rakyat Malaysia sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi pemain dan pengerak revolusi baharu ini. Apatah lagi persediaan prasarana internet melalui penggunaan jalur lebih berkuasa tinggi menjadi katalis kepada kerancakan alaf revolousi industri ini.

Lihat sahaja apabila perkhidmatan e-hailing seperti Grab, yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar dan memudahkan pengguna, telah memberi kesan yang menjejaskan perkhidmatan teksi konvensional. Malahan ia menjadi suatu isu yang perlu diberikan perhatian khusus. Begitu juga perkara sama berlaku apabila Netflix diperkenalkan melalui penstriman video untuk menonton filem dalam talian melenyapkan perkhidmatan sewaan video seperti Blockbuster.

Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa masyarakat mahukan keselesaan, kesegeraan sebagai cara hidup baharu yang dihubungkan dengan internet sepanjang masa.

Secara sedar atau tidak cara hidup dan tindakan kita ditentukan oleh terknologi revolusi ini. Justeru, mereka yang tidak mahu berubah akan diganggu dan ditinggalkan oleh teknologi baharu. Kepesatan teknologi sekarang bergerak begitu pantas dan seluruh dunia sedang bergelut untuk mencipta dan pencetus dalam menguasai teknologi ini.

Malaysia sepatutnya menggunakan peluang dan ruang sepenuhnya dan bergerak aktif menggunakan Revolusi 4.0. Sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Sehubungan itu, sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan mengalami perubahan hasil Revolusi Industri 4.0. Kita memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan bersedia mengharungi cabaran baharu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital.

Malaysia selaku negara pertama merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Inisiatif Malaysia sebagai satu langkah ke hadapan, apabila pelan pembangunan pendidikan tinggi yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka kerja naratif sangat baik bukan sahaja untuk masa depan tetapi hari ini.

Idea yang dipraktikkan Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam ekonomi global pada masa hadapan. Justeru, bidang pendidikan adalah teras hadapi cabaran baharu Revolusi Industri 4.0.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM.