Guna 1 peratus bajet tahunan untuk program integriti

Iklan
Xavier Jayakumar

PUTRAJAYA - Bermula tahun depan, operator dan pembekal dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan perlu memperuntukkan satu peratus daripada bajet operasi tahunan untuk menjalankan program peningkatan integriti.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, inisiatif untuk mengurangkan salah laku dalam tadbir urus industri perkhidmatan air itu melibatkan pelaksanaaan program integriti seperti audit, penilaian risiko, pemantauan, latihan dan komunikasi.

Iklan
Iklan

"Perkara ini terkandung dalam Rangka Kerja Integriti dan Anti Rasuah Bagi Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air yang dilancarkannya hari ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan rangka kerja integriti itu di sini.

Menurutnya, pematuhan terhadap rangka kerja itu akan dijadikan satu daripada syarat khas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam pemberian atau pembaharuan lesen operator bekalan air dan pembentungan.

Iklan

"Dengan peningkatan amalan integriti oleh pemain industri, gejala rasuah dapat dihindari sekali gus operator dan pembekal dapat meningkatkan mutu perkhidmatan air kepada masyarakat.

"Rangka kerja itu diwujudkan bagi menyambut inisiatif Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023 dengan menggariskan lima prinsip asas yang wajib dipatuhi pemain industri air iaitu komitmen pengurusan atasan; analisa risiko; pelaksanaan langkah kawalan; pemantauan, penilaian dan penguatkuasaan secara sistematik; dan latihan serta komunikasi," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, menurut laporan Transparency International, kebanyakan krisis air di negara membangun berlaku disebabkan tadbir urus serta rasuah dan perkara sama berlaku di Malaysia.

"SPAN selaku badan kawal selia industri perkhidmatan air mengamalkan toleransi sifar terhadap amalan rasuah dan atas faktor itu pengurusan atasan, kakitangan, kontraktor operator bekalan air dan pembetungan serta agensi perakuan diwajibkan mematuhi rangka kerja integriti yang dilancarkan.

"Berdasarkan laporan media membabitkan beberapa pegawai operator air disiasat pihak berkuasa kerana aktiviti rasuah dan salah guna kuasa," katanya. - Bernama