900 bungkusan daun ketum dirampas

Iklan
Azry (tiga, kanan) bersama bungkusan daun ketum yang berjaya dirampas dalam serbuan di Merapoh, Jumaat lalu.
KUALA LIPIS - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis berjaya merampas 900 bungkusan dipercayai daun ketum seberat 150kg dan 140 biji pil methamphetamine selepas serbuan di sebuah rumah teres di kawasan Merapoh, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 10.35 pagi itu, pihak polis juga menemui lima buah kotak berisi 360 botol warna hitam berlabel"Uphafyl Forte" dipercayai ubat batuk di atas lantai di ruang tamu rumah tersebut dengan nilai keseluruhan termasuk ketum dan pil tersebut, RM12,000.

Ketua Polis daerah, Superitendan Azry Akmar Ayob berkata, dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun telah ditahan dalam serbuan di rumah berkenaan yang disewa oleh suspek terbabit.

Menurutnya, turut dijumpai wang tunai bernilai RM2,300 di dalam sebuah beg warna hitam jenama Calvin Klien, tong gas, dua buah telefon jenama Oppo dan sebilah pedang samurai.

"Daun ketum itu diperolehi daripada pembekal luar sebelum diproses untuk pasaran di Merapoh dan Kelantan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Inspektor Ahmad Shazewan Rasit.