Dzulhaziqi sempat hantar gambar tiba di lokasi air terjun

Iklan
Ahlami (kanan) dan bapanya, Mohd Azmi (kiri) melihat mesej terakhir yang dikirim adiknya Muhammad Dzulkaziqi sebelum kejadian.

KOTA BHARU - Salah seorang mangsa lemas di Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang semalam sempat menghantar gambar ketibaannya di lokasi itu ke dalam kumpulan WhatsApp keluarga beberapa minit sebelum kejadian.

Muhammad Dzulhaziqi Mohd Azmi, 19, penuntut Kolej Matrikulasi Pahang sempat menghantar gambar itu jam 9.49 pagi sebelum pertanyaan kakaknya tidak dijawab.

Iklan
Iklan

Kakak sulungnya, Ahlami Mohd Azmi, 30, berkata, adik keempat daripada lima beradik itu sempat memaklumkan dia tiba di air terjun itu bersama rakan-rakannya.

"Dia ada hantar gambar tiba di Air Terjun Berkelah itu jam 9.49 pagi. Bila saya tanya lagi di mana lokasi Air Terjun Berkelah itu dia dah tak jawab.

Iklan

"Kemudian selepas Zuhur ada sahabat baiknya, Hanif telefon saya beritahu kejadian itu. Ketika itu saya berada di tempat kerja terus pulang ke rumah untuk maklumkan keluarga. Kami amat terkejut kerana dia baru sahaja maklumkan pergi ke air terjun itu," katanya.

Mesej terakhir yang dikirim Muhammad Dzulhaziqi dalam kumpulan WhatsApp keluarganya pagi semalam.

Dia bersyukur semua urusan tuntutan mayat Allahyarham Muhammad Dzulhaziqi dipermudahkan.

Iklan

"Kebetulan dua lagi adik saya Ayuni, 28, dan Muhammad Dzulhakimi, 25, yang bekerja di Temerloh menguruskannya di Kuantan, kami hanya tunggu di sini sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Azmi Abdul Rahman, 57, berkata, Allahyarham adalah seorang anak yang tidak banyak cakap dan tidak pernah meninggikan suara bila bercakap.

"Adakalanya kita perlu tanya dua kali untuk pastikan apa yang dikatakannya. Dia anak yang baik, yang ringan tulang, suka bantu guru dan rakannya. Dia juga tak cerewet, makan apa sahaja yang disediakan, kalau tak ada pun tak apa.

"Kali terakhir kami bertemu Aidiladha lalu. Tak ada perubahan yang ditunjukkan tetapi dia selalu maklumkan kami kalau nak ke mana-mana. Dia boleh berenang dan seorang yang aktif bersukan namun sudah ajalnya tiba, kami reda dengan takdir Ilahi,” katanya.

Gambar kenangan Muhammad Dzulhaziqi (kanan) bersama keluarga ketika bercuti ke Tanah Tinggi Cameron April lalu.

Jenazah Allahyarham tiba di kediaman ibu bapanya di Cabang Tiga Pengkalan Chepa jam 2 pagi dan disolatkan di Masjid Al-Karomah selepas Subuh sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kubang Keranji jam 7 pagi tadi.

Semalam, perkelahan lima sekawan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Syafwan Sukri, 19, yang ketika itu cuba menyelamatkan mangsa namun turut tenggelam.

Mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air pada 12.36 tengah hari semalam sebelum dibawa turun ke kem induk Air Terjun Berkelah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang mati lemas

Tak sangka hasrat berkelah bertukar tragedi