LANGKAWI - Seorang pelancong warga Perancis maut selepas skuter yang ditunggangnya gagal memotong kereta yang berada di hadapannya di Jalan Temoyong, dekat sini pada jam 1.18 pagi tadi.
Mangsa, Bilel Fadloun Saber, 21, terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum sebuah kereta yang dipandu pemuda berusia 25 tahun tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang dalam perjalanan ke Pantai Chenang meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kereta di hadapannya namun gagal.
"Mangsa jatuh ke laluan bertentangan dan sebuah kereta tidak sempat mengelak dan melanggarnya kerana jarak terlalu dekat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.
"Polis minta mana-mana saksi yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.