TNB perkukuhkan sistem bekalan elektrik

Iklan
Penerima sumbangan bergambar bersama tetamu yang hadir pada Program Back To School 2019 di SK Telok Pasu.

KUALA TERENGGANU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan belanjawan pelaburan modal (capex) sebanyak RM86.21 juta sepanjang tahun 2018/2019 bagi melaksanakan projek-projek memperkukuhkan sistem bekalan elektrik kepada pengguna di seluruhTerengganu.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan Terengganu) Bahagian Retail TNB, Mohd Nazri Puteh berkata, daripada jumlah itu sebanyak 60 peratus telah dibelanjakan untuk tujuan itu di kawasan-kawasan yang memerlukan sistem bekalan elektrik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan daripada TNB itu sendiri memfokuskan kepada pembangunan elektrik sebagai usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.

"Kita banyak memberi tumpuan di kawasan-kawasan yang perlu ditambah baik atau memperkukuhkan lagi sistem bekalan elektrik supaya rakyat selesa dan menerima kemudahan itu dengan baik.

Iklan

"Bila mana adanya kawasan yang kekurangan bekalan elektrik, TNB sedia membantu dengan menambah baik sistem bekalan melalui peruntukan ini,” katanya kepada pemberita sempena Program Back To School 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pasu, di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya; Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong; Guru Besar SK Pulau Rusa, Mohd Noor Zakaria dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Telok Pasu, Saiful Zaman Yusof.

Iklan

Mohd Nazri berkata, bekalan elektrik yang diberi di seluruh Terengganu sudah pun mencapai 100 peratus.

Pihaknya ketika ini memberi tumpuan terhadap perumahan atau penempatan baharu yang memerlukan sistem bekalan elektrik.

Dalam majlis sama seramai 500 murid menerima manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB dalam bidang pendidikan bagi tahun 2019 sempena program tersebut.

Mohd Nazri berkata, setakat ini dua daerah iaitu Marang dan Telok Pasu telah selesai mengagihkan kelengkapan sekolah bernilai RM200 seorang manakala bagi Hulu Terengganu akan diadakan Januari depan.

"Seramai 200 orang murid di Marang dan 100 orang murid berusia 7 hingga 12 tahun di SK Telok Pasu telah menerima sumbangan masing-masing dan 200 orang lagi di Kuala Berang akan diagihkan pada Januari depan.

"Sumbangan ini untuk membantu keluarga kurang mampu dan ini adalah tahun keenam TNB teruskan program ini. Seramai 25,000 murid mendapat manfaat sejak diperkenalkan pada 2013," katanya.