Pak menteri, hati-hati bila bicara

Iklan
SEMUA tahu dan faham, negara ini mendewasa dalam kemajmukan. Dari sebuah tanah air yang dihuni dan berakarumbikan bangsa asal iaitu Melayu sehingga didatangi oleh bangsa lain.

Aliran masuk beragam bangsa dari keturunan Arab, Parsi, dari tanah besar China dan India, menjadikan negara ini unik sejak ia dilahirkan. Dirangkul semuanya menjadi keluarga besar di tanah Malaya kemudian menjadi Persekutuan Tanah Melayu.

Turut berkembang ialah Islam. Raja menerima agama Islam dengan senang hati, hasil pelawaan para mubaligh daripada pendakwah dan pedagang. Bermula faham anisme dan menyembah berhala sehingga datang nur Islam memecah kegelitaan. Lalu hidup aman damailah penduduk dengan kesedaran beragama Islam dalam kalangan peneraju istana dan rakyat jelata.

Sejarah dilakar terus. Tanah air ini tidak sunyi dari cabaran. Kuasa imperialis Belanda, Portugis dan British datang dengan slogan"Gold, Gospel and Glory". Gold lambang kekayaan, Gospel melambangkan misionari Kristian dan Glory ialah penguasaan dan penjajahan.

Lalu landskap ragam agama juga muncul di tanah Melayu ini. Islam, Katolik, Protestan, Hindu, Buddha, Taois menjadi warna yang membentuk wajah tanah Melayu.

Tanah air bangsa Melayu ini telah menarik bangsa lain untuk bermastautin di bumi bertuah ini. Tanah air yang kaya hasil bumi dan terselamat dari lingkaran bencana alam menjadikan tanah air ini sungguh bertuah. Berbanding negara lain, tanah Melayu ini menjadi destinasi pilihan.

Bagaimanapun, tatkala dijajah, agenda penjajah menetapkan kemerdekaan yang akan diberi tidak tanpa syarat. Bahawa semua bangsa yang lahir di tanah Melayu ini selepas merdeka hendaklah diberi kerakyatan. Bangsa Melayu menerima dengan lapang dada. Maka lahirlah Malaysia yang merdeka pada 6 Safar 1377 Hijrah (31 Ogos 1957).

Kemudiaan pada 1963 dengan kemasukan Sarawak dan Sabah, jadilah Malaysia yang luas wilayahnya dan 16 September disambut sebagai Hari Malaysia.

Sementara itu bangsa Melayu berlapang dada untuk hidup berkongsi dan bersampingan dengan kaum lain. Kita memilih untuk mengguna demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan sebagai sistem bernegara. Lalu berbekalkan Perlembagaan Persekutuan dan berteraskan Rukun Negara, kita meniti dengan berhati-hati.

Setelah detik hitam 13 Mei 1969 menjadi pengajaran, negara ini mencermati perjalanannya. Setiap warga diperingati sentimen dan sensitiviti kaum dan agama agar jangan dilangkau.

Dengan yang demikian mendakwa agama selain Islam dan bangsa selain Melayu didiskriminasi, adalah satu kepalsuan. Ia tidak seharusnya timbul. Rumah ibadat semua agama muncul dengan tidak banyak masalah.

Malah tidak dapat dinafikan bahawa sesungguhnya bangsa selain Melayulah yang jauh ke hadapan. Ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masih terasa. Walaupun kita melancarkan DEB pada 1970, ternyata jurang ekonomi semakin meluas.

Jadi sangat pelik bila ada menteri yang berbicara tanpa berhati-hati.

Negara yang sangat unik ini mahu dijadikan medan pertarungan menuntut hak atas alasan satu bangsa itu dikata didiskriminasi. Apakah kerana hak untuk bebas bersuara, seorang menteri juga boleh bercakap semahunya?

Tanpa mahu bertanggungjawab akan kesannya? Tanpa peduli sentimen orang ramai yang boleh sahaja bertindak di luar undang-undang?

Bagi kita, jika berlaku ketidakadilan, tindakan harus diambil. Tindakan harus melayani secara kes demi kes. Jika ternyata ada pelanggaran polisi, wajar diperbetulkan. Akan tetapi jika habuan politik menjadi umpan untuk meraih sokongan, maka itu tidak wajar.

Menjadi perangai para politikus di negara ini sering bermain kata-kata di depan media, kemudian menafikannya. Padahal reaksi di khalayak awam sudah memanas. Sentimen sudah bergelora dan akhirnya kesangsian memuncak.

Anehnya soal isu rakyat yang real mengenai kos hidup, peluang pekerjaan, jurang kaya-miskin, jenayah dan keselamatan sosial, pendapatan rendah dan pemilikan rumah; tidak menarik bagi sebahagian ahli politik dan pak menteri.

Ia tidak cukup sensasi. Tuntutan kaum menjadi pilihan. Media diperalatkan. Politik dijadikan unsur paling berkesan untuk memburukkan lawan.

Bila ini berlaku, yang dibina selama ini hilang dan pupus seolah negara ini tidak berharga untuk dipertahan sebagai negara majmuk yang harmonis dan makmur. Menang sorak, kampung tergadai. Menang teriak, negara terungkai.