Lebihkan kerja untuk rakyat

Iklan
TAHUN baharu yang bakal menjengah, pasti ramai yang sudah pun memasang azam baharu untuk tahun mendatang. Sambil memasang hajat baharu, tidak kurang juga ada yang menyemak dan merenung kembali azam tahun ini, apakah sudah tercapai atau sekadar tinggal azam sahaja.

Rasanya biarlah masing-masing yang menjawab bagi diri sendiri. Itu di peringkat individu yang bersifat peribadi. Tetapi bagaimana pula halnya kalau di peringkat organisasi, contohnya parti politik? Apakah mereka juga sudah memasang azam dan merancang perkiraan menghadapi tahun baharu, dan sudah tentu apakah mereka juga sudah melakukan refleksi diri melihat kembali apa yang telah dicapai sepanjang tahun ini.

Setelah Malaysia memilih pada 9 Mei lalu, barangkali 2019 bakal menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Selepas berani melakukan perubahan dengan menamatkan 60 tahun rejim pemerintahan BN mentadbir negara, harapan yang lebih tinggi diletakkan kepada kerajaan PH untuk melakukan banyak perubahan. Ini selaras dengan janjinya dan sudah tentu itu jugalah yang membuat rakyat mengundi perubahan dengan memangkah mereka.

Namun begitu, setelah mendapat mandat rakyat, dilihat kerajaan PH masih belum membuat banyak perubahan sepertimana yang diharapkan. Lebih malang lagi, sudah ada suara-suara muncul menyamakan kerajaan PH dua kali lima sahaja dengan rejim BN terdahulu.

Deretan kontroversi yang melanda, dari isu pemakaian kasut hitam, hutang PTPTN, ratifikasi ICERD hinggalah ke rusuhan kuil yang meragut nyawa anggota bomba berdedikasi Mohammad Adib, menekan perasaan rakyat terhadap prestasi kerajaan PH. Ungkapan Inggeris,"baptism by fire" barangkali paling sesuai menggambarkan bagaimana kerajaan PH ketika ini berdepan dengan pengalaman pertama yang sukar sebagai pemerintah.

Berbanding ketika menjadi pembangkang, realiti sebenar sememangnya berbeza dan sukar apabila memerintah. Dek kerana terlalu teruja dan ghairah melakukan perubahan, lebih banyak kesilapan yang dilakukan berbanding yang sepatutnya.

Yang membimbangkan sudah tentu harapan dan kepercayaan rakyat kepada mereka. Ketika ini rakyat kelihatan letih dengan politik yang ada. Lihat sahajalah ketika empat Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku pasca PRU14 yang kurang mendapat perhatian rakyat. Selain PRK Port Dickson yang sedikit berbeza, tiga PRK yang lain mencatatkan peratusan terendah dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Dalam masa sama, tindakan u-turn dan flip-flop para menteri serta aktiviti keluar parti dan lompat melompat ahli politik menjadikan rakyat mual dan meluat dengan situasi politik semasa. Maka tidak hairanlah apabila tular gambar pertemuan antara Nurul Izzah, Rafizi dan Khairy di Bangsar, muncul khabar angin bahawa pertemuan itu adalah untuk membincangkan platform politik baharu berteraskan orang muda.

Walaupun masing-masing menafikan perkara itu, reaksi positif rakyat terutamanya orang muda terhadap perkara itu amat mengagumkan. Kalau ini boleh diterjemahkan secara mudah, ia memberi mesej bahawa rakyat terutamanya orang muda sudah hilang harapan dengan politik semasa yang melihat politik seumpama ‘orang tua berperang, anak muda mati di tengah’.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan kerajaan PH akan membawa kepada perasaan ‘high expectation, high frustration’ dalam kalangan rakyat. Dikhuatiri, keadaan semasa hari ini akan menjadikan rakyat kecewa dan putus asa dengan politik dan kerajaan.

Kesudahannya, rakyat tidak lagi melihat politik sebagai wadah penyelesaian dan kerajaan sebagai penjaga kebajikan rakyat. Dengan masa yang masih panjang dan ada banyak perkara yang masih perlu dilakukan oleh kerajaan, sudah tentu ini tidak bagus untuk kemajuan dan perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang demokratik dan membangun.

Kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada 2018. Dengan segala peristiwa yang telah dilalui sepanjang tahun itu, sudah tentu 2019 ini mahu dimulakan dengan sesuatu yang betul bagi menggantikan kesilapan sebelumnya. Semoga tahun mendatang ini kerajaan baharu akan lebihkan bekerja demi rakyat dari menjadi tajuk-tajuk berita. Selamat tahun baharu Malaysia.* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran &

Pengajian Polisi UiTM