Status Zakir Naik buat Malaysia serba salah: Dr Mahathir

Iklan

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan status pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik pada masa kini sebagai rumit dan menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan serba salah.

Memetik wawancara bersama media Turki TRT World, Dr Mahathir berkata, Malaysia sepatutnya tidak boleh menerima pendakwah yang menyampaikan pandangan ekstrem tentang agama atau hubungan kaum, tetapi dalam masa sama sukar untuk menghantar beliau ke mana-mana negara kerana kebanyakannya menolak.

Iklan
Iklan

"Malaysia memiliki penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kami tidak mahu sesiapa yang datang dan menyatakan pandangan ekstrem terhadap agama mahupun hubungan kaum.

"Daripada sudut itu, kami tidak boleh terima, tetapi daripada sudut lain sukar untuk menghantar beliau ke mana-mana negara kerana mereka tidak mahu menerimanya (Zakir)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan status Dr Zakir yang kini menjadi buruan kerajaan India kerana didakwa sebagai ekstremis dan turut dilabelkan sebagai penyebar kebencian oleh Barat.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan kerajaan akan lebih berhati-hati berhubung permohonan ekstradisi termasuklah terhadap Dr Zakir.

Iklan

Beliau mengulangi pendirian Dr Mahathir sebelum ini yang tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Dr Zakir dihantar pulang ke India sehingga pendakwa itu dijamin mendapat perbicaraan adil di negara itu.