Dua penagih dadah diberkas ragut wanita China

Iklan
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa diragut suspek di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga China rugi ribuan ringgit selepas beg tangannya direntap peragut sehingga dia terjatuh dalam kejadian di hadapan kondominium di Bandar Sri Permaisuri, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, dua lelaki bermotosikal berlegar di hadapan kondominium terbabit sebelum salah seorang mereka bertindak meragut mangsa.

Iklan
Iklan

"Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di bahagian mata, tangan dan kaki.

"Beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM4,000, gelang tangan perak, telefon bimbit dan pasport dilarikan suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 2.30 pagi, semalam di kawasan Bandar Tun Razak, Cheras.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan lapan peket plastik mengandungi syabu seberat 5.5 gram, sebiji pil erimin, dua beg bimbit, lima telefon bimbit dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri motosikal.

Iklan

Tambahnya, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang didapati positif dadah itu masing-masing mempunyai 19 dan 21 rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi motosikal dan dadah.

"Semakan pada motosikal yang disyaki digunakan semasa kejadian juga disahkan adalah motosikal curi," katanya.

Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 379(A) Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.