Kedah paling lewat lantik MPKK

Iklan
Dr Ismail Salleh

ALOR SETAR - Kedah merupakan negeri paling lewat membuat pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sehingga kini belum selesai.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ismail Salleh mengakui kelewatan itu disebabkan oleh urus tadbir yang lemah di pelbagai peringkat.

Iklan
Iklan

Namun, katanya, pihaknya telah menetapkan tarikh akhir pelantikan pada 1 Januari 2019 dan meminta semua kampung menyelesaikan kemelut itu sebelum tarikh tersebut.

"Saya akui antara sebab pelantikan masih belum dibuat adalah kerana urus tadbir lemah. Nama-nama kampung sudah diberi kepada empat parti bawah PH untuk pelantikan, namun sebahagian masih gagal capai kata sepakat,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pembahagian kuota mengikut parti (PKR, Amanah, Bersatu, DAP) sudah dibuat namun senarai yang diserahkan belum lengkap susulan masih memilih wakil MPKK di kawasan tertentu.

"Masing-masing ada kelemahan, peringkat bawah pun lemah, kita (peringkat atas) pun lemah. Itulah jadinya, bukan sukar pun kerana sudah diberikan pembahagian ikut parti. Inilah antara kelemahan pengurusan dalam pentadbiran yang harus kita ubah secara keseluruhan,” katanya.

Iklan

Dr Ismail berkata, senarai nama MPKK harus diserahkan selewat-lewatnya pada 31 Disember ini, kerana pelantikan akan dibuat pada 1 Januari 2019.

"Mereka diberi tempoh hingga akhir bulan ini, selepas itu kerajaan negeri akan uruskan pelantikan, kita tidak mahu ia berlanjutan ke tahun depan. Ini kerana pembayaran elaun akan bermula Januari,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan negeri sudah buat pelantikan MPKK sejak Julai dan Ogos lalu.

"Kedah paling lewat, ini beri gambaran tadbir urus tidak cekap. Kita tidak ambil pendekatan melulu hingga cetus kekecohan, kita lambat dan inilah risiko harus kita tanggung,” katanya.